IPOH: Amanah Perak kurang senang dengan tindakan Ketua Pembangkang, Dr. Abdul Aziz Bari yang lebih awal menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, sedangkan Pakatan Harapan (PH) Perak belum berbincang mengenai parti dan calon mana yang akan bertanding di Parlimen itu.
Katanya, tiada masalah jika Abdul Aziz mahu bercita-cita bertanding di Tambun namun tindakannya menyatakan hasrat secara terbuka itu merupakan keputusan individu.
“Itu dia katalah (mahu bertanding di Parlimen Tambun), tapi dari segi PH kita tak bincang pun lagi.
“Dia nak bercita-cita begitu tiada masalah, tapi apa sekalipun parti yang akan buat keputusan dan lebih penting daripada itu, peringkat PH negeri sendiri yang akan buat keputusan, siapa dan parti mana yang akan bertanding di Tambun.
“Jadi dia tak bolehlah main ‘chop-chop’ macam itu saja. Kalau macam itu orang lain pun boleh ‘put a stake‘ di situ, tak boleh macam itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Asmuni berkata, DAP pun mungkin berminat untuk bertanding di Tambun namun mungkin calon lain.
Katanya, malah PKR dan Amanah juga mungkin berminat meletakkan calon di Parlimen Tambun.
“Jadi perkara ini biarlah diputuskan oleh kepimpinan parti siapa dan akan bertanding di mana, bukan khusus untuk Parlimen Tambun saja tapi di tempat-tempat lain,” katanya.
Ditanya mengenai sama ada Amanah berminat untuk meletakkan calon di Parlimen Tambun, Asmuni berkata, parti itu telah mengenal pasti calon namun belum membuat keputusan lagi.
“Mungkin juga saya (bertanding di Parlimen Tambun),” katanya.
Ditanya mengenai kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi jika beliau bertanding di Parlimen Tambun, Asmuni berkata, perkara itu belum dibuat keputusan.
“Itu semua kemungkinan-kemungkinan sahaja. Mungkin juga saya ambil Parlimen saja ataupun macam-macam, sebab kita tak buat keputusan lagi.
“Terlalu awal pada peringkat ini untuk kita putuskan siapa yang bertanding di mana, parti yang akan memutuskan calon-calonnya bukan individu.
“Saya sendiri pun tidak mengatakan saya akan bertanding di Manjoi, walaupun mungkin saya ada niat macam itu tapi kalau parti tak ‘endorse‘ saya pun tak boleh ke mana,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Aziz menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU-15.
PKR dan Amanah membantah perkara itu malah PKR Cabang Tambun dengan tegas menyatakan bahawa parti itu tidak akan memberi laluan kepada Abdul Aziz. – UTUSAN











