Cadangan cuti Sabtu, Ahad dapat reaksi positif daripada guru - Utusan Malaysia

Cadangan cuti Sabtu, Ahad dapat reaksi positif daripada guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Cadangan kerajaan negeri untuk mengkaji semula cuti hujung minggu yang ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu ketika ini mendapat reaksi positif daripada golongan guru dan tenaga pengajar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, usul pertukaran cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad seperti sebelum ini perlu mengambil kira pelbagai aspek dan dikaji semula sebelum dilaksanakan.

Beliau berkata, sekiranya dilaksanakan, pertukaran cuti hujung minggu itu seelok-eloknya dimulakan pada tahun depan supaya tidak mengganggu takwim persekolahan pada tahun ini.

“Di peringkat pendidikan, majoriti daripada 44,920 guru di sekolah rendah dan menengah menyambut baik cadangan itu untuk mengkaji semula cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu yang dilaksanakan ketika ini. Sekiranya berlaku perubahan, kita berharap ia tidak dilaksanakan pada tahun ini kerana takwim persekolahan sudah diatur sehingga Disember ini. Sebarang pertukaran pada tahun ini hanya akan menyukarkan pelbagai pihak,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Pada 14 Jun lalu, Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan hari cuti hujung minggu negeri berkenaan yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Kajian itu akan dibuat ekoran terdapat keluhan daripada masyarakat mengenai perbezaan hari cuti sektor swasta dan kerajaan selain bagi memastikan ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama.

Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pertukaran cuti minggu negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu berkuat kuasa 1 Januari 2014.

Johor sebelum itu juga pernah menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu sebelum tahun 1994.

Negeri lain seperti Kedah, Kelantan dan Terenganu turut mengamalkan cuti Jumaat dan Sabtu sebagai cuti hujung minggu.

Mengulas lanjut, Norlizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama berkata, hari persekolahan pada Ahad merekodkan ramai pelajar yang ‘bercuti’ hingga menyebabkan bilik darjah hampir kosong.

“Banyak faktor yang perlu diambil kira, pada hari Ahad ramai pelajar tak nak ke sekolah lebih-lebih lagi pada cuti sekolah yang panjang, kelas akan kosong. Perkara ini perlu diteliti di setiap peringkat selain mengambil faktor produktiviti bersama keluarga, kesannya kepada ekonomi dan penerimaan guru agar apa yang diputuskan itu nanti memberi manfaat kepada semua pihak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN