Cacar monyet: Kawalan di sempadan Johor-Singapura dipertingkat - Utusan Malaysia

Cacar monyet: Kawalan di sempadan Johor-Singapura dipertingkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri meningkatkan pengawasan pada tahap tertinggi di pintu masuk laluan darat Johor-Singapura susulan pengesanan kes wabak cacar monyet di republik itu, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, langkah tersebut bagi mengekang wabak tersebut merentasi Tambak Johor demi keselamatan rakyat negeri ini.

Beliau berkata, notis peringatan tentang perkara itu telah diedarkan kepada semua pegawai bertugas di sempadan Malaysia-Singapura sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kesemua pegawai di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, khususnya petugas Jabatan Imigresen yang menjadi lapisan pertama diingatkan untuk melakukan pemeriksaan secara menyeluruh terhadap pengembara yang memasuki negara ini. Sekiranya mereka menyedari dan mengesan individu mempunyai simptom cacar monyet,  mereka perlu segera melaporkan kepada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan negara itu telah mengesan satu kes import cacar monyet.

Pesakit ialah seorang lelaki Britain berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pramugara dan disahkan positif pada Isnin lalu.

Pesakit berada dalam keadaan stabil di wad di Pusat Kebangsaan Bagi Penyakit Berjangkit (NCID) di Singapura dengan 13 kontak rapat lelaki itu dikenal pasti setakat semalam dengan kesemuanya diletakkan di bawah kuarantin selama 21 hari sejak hubungan terakhir mereka dengannya.

 

Terdahulu, pada 7 Jun, seorang individu disahkan dijangkiti cacar monyet melalui kawasan transit di Lapangan Terbang Changi pada 2 Jun lalu dalam perjalanan ke Australia.

Individu itu dilaporkan berangkat dari Barcelona, Sepanyol pada 1 Jun lalu untuk ke Australia, diuji positif bagi cacar monyet selepas tiba di Sydney keesokannya.

Tian Soon berkata, kerajaan Negeri sentiasa berwaspada dan berjaga lebih-lebih lagi ramai pengembara yang memasuki ke Johor adalah warga Singapura selain pekerja Malaysia yang berulang-alik.

Namun, setakat ini keadaan masih selamat kerana tidak ada penerbangan terus dari negara wabak berkenaan dan kes dikesan di negeri lain terlebih dahulu sebelum memasuki Malaysia.

“Selalunya mereka akan masuk menerusi Singapura yang akan melakukan tapisan pertama sebelum masuk ke Johor,” katanya.

Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, kerajaan negeri juga akan menghubungi Kementerian Kesihatan Singapura bagi mendapatkan perkembangan terkini kes import cacar monyet di republik itu.

Katanya, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu sudah diminta mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkembangan terbaharu kes cacar monyet berkenaan.

“Kerajaan Johor akan bekerjasama rapat dengan Singapura bagi memastikan penularan cacar monyet dapat dielakkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya