Buruh didakwa cuba bunuh rakan sekampung

Buruh didakwa cuba bunuh rakan sekampung

ANGGOTA polis mengiringi Amri Faisa Sauti (kiri) yang menghadapi pertuduhan cuba membunuh rakan sekampungnya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan cuba membunuh rakan sekampungnya sehingga menyebabkan kecederaan, di hadapan sebuah masjid di Bachok, dekat sini bulan lalu.

Tertuduh, Amri Faisa Sauti, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa  melakukan cubaan bunuh hingga menyebabkan kecederaan kepada Mohd. Zailuddin Hart, 50.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Masjid Kampung Bukit Temalong, Gunong dekat Bachok, kira-kira pukul 8.45 malam pada 15 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius selain pertuduhan yang dihadapinya juga tidak boleh dijamin.

Amri Faisa kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak melantik peguam dan menjalani prosiding perbicaraan secara sendiri.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN