PEKAN: Ibarat menanti bulan jatuh ke riba.
Demikian situasi dihadapi generasi kedua di Felda Chini 3 di sini, apabila 100 unit rumah Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang dijanjikan dibina di tanah rancangan itu belum siap.
Difahamkan, lantikan kontraktor untuk membina unit rumah setingkat itu dibuat pada September 2013, namun projek tersebut terbengkalai sejak 2017 akibat kontraktor bermasalah.
Selepas itu, lantikan kontraktor dikatakan dibuat beberapa kali namun projek yang ditunggu-tunggu generasi kedua Felda di situ masih gagal disiapkan.
Terbaharu, lantikan difahamkan dibuat pada September 2021 dan projek dijangka siap pada 19 Jun ini, namun tinjauan mendapati ia masih terbengkalai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang generasi baharu Felda yang hanya ingin dikenali sebagai Haji berkata, dia kecewa kerana projek berkenaan masih gagal disiapkan sedangkan ditunggu ramai bagi membolehkan generasi sepertinya mempunyai rumah sendiri.
“Saya bersama rakan lain pernah meronda di kawasan itu dan melihat ada rumah tinggal dijadikan port penagih dadah sehingga ada yang meletakkan tilam.
“Keadaan di situ sedikit semak dan berbukit, difahamkan ia turut dijadikan port maksiat anak muda,” katanya di sini semalam.
Haji berkata, ketika ini, kebanyakan generasi kedua yang sudah berkeluarga masih tinggal bersama ibu bapa dan tidak tahu bila projek itu dapat disiapkan.
“Felda perlu segera menyiapkan rumah itu bagi mengelak berlaku peningkatan kos jika dibiarkan terlalu lama. Pilih kontraktor yang benar-benar layak dan berkemampuan menyiapkan projek berkenaan,” katanya. – UTUSAN










