`Bigboss' terima `Coklat' RM2juta - saksi

`Bigboss’ terima `coklat’ RM2 juta – saksi

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu, wang tunai RM3.3 juta diserahkan kepada Lim Guan Eng iaitu 10 peratus daripada keuntungan bersih syarikat kontraktor yang mengendalikan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli berkata, beliau menyerahkan RM2 juta kepada Guan Eng melalui seorang ahli perniagaan, Gnanaraja yang bertindak selaku perantara bagi mengelakkannya dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) itu berkata, beliau menghubungi Gnanaraja pada 17 Ogos 2017 melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan hajatnya memberikan `Coklat’ yang dimaksudkan sebagai wang tunai kepada `Bigboss’.

Menurut saksi pendakwaan ke-23, keesokan harinya, beliau bertemu Gnanaraja di sebuah hotel di Petaling Jaya dan menyerahkan dua beg masing-masing berisi RM1 juta dan meletakkannya dalam bonet kereta Bentley yang dinaiki ahli perniagaan itu.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Zarul Ahmad, 62, berkata, beliau selanjutnya menghubungi Guan Eng pada 20 Ogos 2017 untuk memperkenalkan bekas Ketua Menteri itu kepadas Gnanaraja.

Ujarnya, Guan Eng yang menghadiri majlis di Publica, Hartamas di sini bersetuju bertemu ahli perniagaan itu dan meminta saksi menjemputnya di sebuah hotel di Pudu.

Menurut kontraktor itu, beliau selanjutnya menjemput Gnanaraja di rumahnya di Petaling Jaya dan meneruskan perjalanan ke Publica yang mana beg berisi RM1 juta diserahkan kepada Guan Eng ketika dalam kenderaan.

Zarul Ahmad selanjutnya berkata, pada 28 Ogos 2017, beliau sekali lagi bertemu Guan Eng di ibu negara kerana Ahli Parlimen Bagan itu menghadiri mesyuarat parti selain bertujuan menyerahkan baki RM1 juta yang masih berada dalam simpanan Gnanaraja.

Pernyataan itu selanjutnya menyatakan, penyerahan baki RM1 juta berlaku di rumah Gnanaraja pada awal pagi 29 Ogos 2017.

Zarul Ahmad seterusnya menyatakan, beliau memberikan wang RM2 juta itu kerana khuatir tertuduh akan mengganggu projeknya pada masa akan datang.

“Saya membuat pendedahan ini secara sukarela kerana mula sedar saya hanya digunakan oleh beberapa pihak untuk keuntungan mereka sendiri,” ujarnya.

Zarul Ahmad berkata, beliau mencadangkan Gnanaraja kepada Guan Eng sebagai perantara kerana ahli perniagaan itu disifatkan `kebal’ dan merupakan kenalan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga Datuk Seri Nazri Aziz.

Dalam pernyataan saksinya, beliau berkata, daripada jumlah RM3.3 juta, sebanyak RM500,000 diberikan kepada Guan Eng pada Januari 2016 sempena sambutan Tahun Baharu Cina manakala baki RM500,000 lagi diserahkan sekitar April dan Mei tahun yang sama di pejabat Ketua Menteri di tingkat 28, KOMTAR.

Ujarnya, wang tunai RM200,000 diberikan sekitar 2013 dan 2014 manakala RM100,000 lagi sempena sambutan ulang tahun kelahiran Guan Eng pada Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Isnin ini.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.