SEREMBAN: Kepemimpinan PKR akan membuat keputusan sama ada Kongres PKR yang dijadual berlangsung pada hujung bulan ini diteruskan ataupun ditangguhkan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sekiranya diteruskan ataupun sebaliknya, ia tidak menjadi satu masalah yang besar tetapi ia perlu diputuskan terlebih dahulu di peringkat kepemimpinan pusat.
Beliau yang memenangi salah satu daripada empat jawatan Naib Presiden dalam Pemilihan PKR baru-baru ini menambah, sudah pasti perkara tersebut akan dibincangkan dalam kalangan kepemimpinan parti mengambil kira semua pandangan yang ada.
“Ia akan dibincangkan dalam kepemimpinan parti, ada pandangan supaya diteruskan, ada pula begitu (ditangguhkan) biar diputuskan oleh kepemimpinan pusat.
“Tidak menjadi masalah, biar ada keputusan, semua orang tentunya rasa tidak puas hati dengan keputusan-keputusan, tetapi boleh dibincangkan di peringkat kepemimpinan, tidak ada masalah.
“Jika kepemimpinan putuskan untuk tangguh, tangguh, kalau ia perlu diteruskan, ia akan diteruskan,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Semalam, calon Ketua Cabang Gombak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, Kongres PKR hujung bulan ini perlu ditangguhkan sekiranya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) gagal menyelesaikan isu undian termasuk di Cabang Gombak dalam Pemilihan PKR 2022, baru-baru ini.
Kata beliau, JPP perlu menyegerakan semakan undian atau menjalankan audit forensik susulan wujud dakwaan jumlah undian yang tidak munasabah. – UTUSAN