SHAH ALAM: Polis memanggil pemandu kereta Naza Ria dan penunggang motosikal yang terlibat dalam pertengkaran di tengah jalan Persiaran Kerjaya, Glenmarie di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, pertengkaran mulut berlaku apabila pemandu kereta itu enggan meletak tepi kenderaannya menyebabkan motosikal lain tidak dapat meneruskan perjalanan.
“Pengadu seorang lelaki berumur 31 tahun adalah penunggang motosikal yang bekerja sebagai jururunding di Subang Business Centre membuat laporan polis pada 13 Jun lalu selepas berlaku kejadian pergaduhan tersebut.
“Pertengkaran mulut yang berlaku disusuli dengan pergaduhan dengan pemandu berusia 29 tahun yang akhirnya dileraikan orang ramai. Kedua-dua pihak kemudian bersetuju selesaikan secara baik dan pengadu hanya buat covering report,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, pengadu dan suspek dipanggil membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mohd. Iqbal menambah, bagaimanapun, pengadu sudah membuat laporan polis bagi menarik semula laporan pertamanya yang dibuat sebelum ini.
Terdahulu, tular video memaparkan dua lelaki sedang bergelut di lokasi berkenaan yang berhampiran dengan tapak pembinaan laluan Aliran Transit Ringat (LRT). – UTUSAN