KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) perlu sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mempercepat penyaluran sumbangan, khususnya kepada mereka yang berdepan ujian dan musibah bencana.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mangsa sudah pasti memerlukan sokongan keluarga dan masyarakat termasuk agensi seperti MAIPs serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika berdepan dengan situasi sukar.
“Masyarakat juga perlu sentiasa bersedia dalam berhadapan situasi cemas seperti mengutamakan keselamatan nyawa diri dan keluarga tersayang.
“Selain itu, mereka perlu mengetahui tindakan-tindakan cepat yang boleh dilaksanakan seperti pemakluman kepada pihak penyelamat, menjaga keselamatan dokumen termasuk mempersiap ‘kit bencana’ bagi diri dan juga ahli keluarga,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyantuni mangsa ribut, Sonan Idris, 80, di Kampung Guar Syed Alwi, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor yang mengiringi Tuanku Syed Faizuddin berkata, majlis agama Islam itu sentiasa berusaha yang terbaik dalam membantu mangsa bencana.
“Mangsa juga diharapkan mengambil langkah awal dalam menyalurkan maklumat lengkap kepada pihak agensi terbabit. Apabila menghadapi bencana, mangsa perlu segera membuat laporan polis, memaklumkan kepada pemimpin masyarakat berdekatan serta menyediakan dokumen asas seperti salinan penyata akaun bank agar mudah untuk sumbangan disalurkan secara terus dan lebih pantas,” katanya. – UTUSAN










