Belanjawan: Kerajaan teliti cadangan ACCCIM

Belanjawan 2023: Kerajaan teliti cadangan ACCCIM

MUSTAPA Mohamed (depan) menandatangani papan tanda Majlis Pelancaran Inisiatif Pucuk Hijau UMW di Pantai Sri Tujoh, Tumpat hari ini/ FOTO:ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT : Empat cadangan daripada Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) melibatkan pengambilan pekerja asing, pengawalan inflasi, masalah capaian internet dan isu keselamatan makanan akan diteliti terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum dibentangkan dalam Belanjawan 2023 pada Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha yang ditunjukkan oleh ACCCIM itu memperlihatkan penyertaan pihak swasta dan komuniti perniagaan dalam membantu kerajaan menjalani proses pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

Menurutnya, kerajaan memandang serius mengenai peningkatan kos dalam menjalankan aktiviti perniagaan yang disebabkan oleh karenah birokrasi dan impak kekurangan pekerja asing ke atas pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan juga akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan isu dan cabaran berkaitan peraturan.

“Hal ini bagi menambahbaik persekitaran perniagaan, melonjakkan produktiviti dan daya saing peniaga, serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Pucuk Hijau UMW di Pantai Sri Tujoh, di sini hari ini. 

Mustapa memberitahu, kerajaan telah mengarahkan supaya proses kelulusan permohonan pekerja asing dipercepatkan.

Katanya, usaha ini menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan bekalan pekerja yang mencukupi untuk menyokong pemulihan sektor perniagaan. 

“Sesi libat urus antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri  agensi serta pihak berkenaan telah diadakan bagi mempercepat serta mempermudahkan lagi proses kemasukan pekerja asing yang telah diluluskan,” ujarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN