Bekas pengurus kilang trauma diugut sindiket 'scammer' di Kemboja - Utusan Malaysia

Bekas pengurus kilang trauma diugut sindiket ‘scammer’ di Kemboja

TAN Ban Kheng (kanan) menunjukkan rakaman suara dipercayai daripada wakil sebuah parti politik yang mengugut dan memintanya menarik balik laporan polis yang dibuat berhubung sindiket penipuan kerja di Georgetown dan Kemboja sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Ibarat terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau. Itu perumpamaan bagi menggambarkan situasi yang dihadapi seorang bekas pengurus kilang di sini, Tan Ban Kheng, 41.

Bapa kepada seorang anak itu mendakwa, kisah tragisnya bermula apabila dia dipanggil menghadiri temuduga kerja oleh sebuah syarikat di Georgetown dekat sini, kira-kira dua bulan lalu.

Ban Kheng berkata, pekerjaan dalam bidang pembangunan perniagaan di Kemboja itu menawarkan gaji sehingga RM12,000 sebulan dan memandangkan iklan pekerjaan itu dibuat menerusi sebuah laman carian kerja terkenal, dia tidak ragu-ragu menerima tawaran kerja berkenaan.

Bagaimanapun kata Ban Kheng, nasib malangnya bermula sebaik sahaja tiba di negara itu apabila dia dikurung serta diugut majikannya dan sekiranya melawan, keluarga di Malaysia juga akan menerima padah.

“Di sana, saya dikurung bersama hampir 1,000 lagi rakyat Malaysia lain yang dipercayai turut mengalami nasib sama seperti saya. Saya bagaimanapun bernasib baik kerana berjaya menyelamatkan diri dengan dibantu oleh seseorang yang tidak boleh saya dedahkan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim di sini hari ini.

Ban Kheng berkata, dia yang masih trauma dengan insiden itu bagaimanapun kini kembali hidup dalam ketakutan khususnya selepas muncul dalam satu rancangan televisyen untuk menceritakan pengalaman ngerinya di sana, baru-baru ini.

“Selepas membuat pendedahan kepada media itu, saya telah dihubungi oleh seseorang yang mengakui wakil daripada sebuah parti politik pada Jumaat lalu. Lelaki itu mahu saya membuat pengakuan semua pendedahan itu adalah palsu, atau hidup saya akan menjadi tidak selamat selepas ini,” katanya.

Ketika ini, kata Ban Kheng, tiga laporan polis telah dibuat iaitu mengenai sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja pada 28 Mei lalu serta dua lagi laporan iaitu masing-masing pada 29 Mei dan 18 Jun lalu berhubung penggodaman e-mel serta beberapa akaun media sosial miliknya selain ugutan yang diterima daripada wakil ahli politik berkenaan.

Dalam pada itu, Sim menggesa pihak berkuasa khususnya polis mengambil tindakan segera kerana apa yang berlaku itu boleh diklasifikasikan sebagai jenayah di bawah sindiket pemerdagangan manusia.

“Tan (Ban Kheng) adalah seorang saksi yang penting dan isu ini seperti sudah menjadi suatu tragedi kepada negara kerana melibatkan ramai rakyat Malaysia dan ramai yang masih terkandas di sana. Sindiket ini juga dipercayai mempunyai syarikat di sini yang menjadi dalang untuk membawa rakyat kita ke sana,” katanya.

Bagaimanapun menurut Steven, beliau tidak dapat memastikan jika terdapat perkaitan antara kes tersebut dengan kes seorang lagi rakyat Malaysia yang masih dikurung di Kemboja iaitu Tay Poh Chai, 39, susulan satu sidang media berasingan yang dibuatnya pada 14 Jun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya