Bekas isteri S.M Faisal fail semakan kehakiman - Utusan Malaysia

Bekas isteri S.M Faisal fail semakan kehakiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas isteri seorang ahli perniagaan terkemuka memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara tujuh hari terhadapnya kerana mengubah tarikh lawatan anak-anak untuk bersama bapa mereka.

Emilia Hanafi, 43, selaku pemohon menyatakan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur tiada bidang kuasa menjatuhi hukuman itu kerana beliau menetap di Kajang, Selangor, bukan di Wilayah Persekutuan.

Permohonan bekas isteri Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin Kamal bagi mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Julai ini di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.

Pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates di Mahkamah Tinggi pada 8 Jun lalu.

Ibu tiga anak itu menamakan S.M Faisal, 43, bekas ibu mentuanya, Puan Sri Zaleha Ismail, 70, dan lima pihak lain sebagai responden.

Turut dinamakan sebagai responden iaitu Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes Emilia diwakili oleh peguam Nizam Bashir manakala Ummi Kartini Abdul Latiff mewakili S.M Faisal dan Zaleha sementara Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam permohonan itu, Emilia menyatakan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hanya mempunyai bidang kuasa mahkamah tempatan yang terhad berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Emilia memohon suatu deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital dan menghukum individu yang bukan pemastautin Wilayah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Emilia memohon suatu perintah larangan untuk menahan prosiding komital syariah iaitu permohonan kebenaran mengeluar Notis Tunjuk Sebab (NTS) di Mahkamah Tinggi Syariah yang difailkan oleh S.M Faisal.

Turut dipohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan itu dan NTS yang telah dimeterai.

Emilia juga memohon membatalkan semua surat, notis, arahan, perintah atau arahan yang mesti dipatuhi atau arahan lain yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur.

Beliau juga memohon suatu perintah interim untuk menggantung semua prosiding dan pelaksanaan apa-apa perintah bagi prosiding syariah sementara menunggu pelupusan muktamad pendengaran prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya dan wanita itu dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Hukuman yang dijatuhi terhadap Emilia menyebabkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mengeluarkan kenyataan wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia, yang disiarkan sebuah portal.

Ekoran kenyataan itu, Maria Chin dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 25 April lalu selepas didapati bersalah mengkritik hukuman penjara ke atas Emilia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.