Banyak kejayaan dicapai Johor dalam tempoh 100 hari pasca PRN

Banyak kejayaan dicapai Johor dalam tempoh 100 hari pasca PRN

ONN Hafiz Ghazi menjawab soalan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri yang baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu telah mencapai pelbagai kejayaan walaupun tempoh pentadbirannya masih belum mencecah 100 hari.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian itu termasuk dalam pelbagai aspek, sama ada penyelesaian masalah rakyat, kemasukan pelaburan dan program bantuan.

Namun, beliau sedar bahawa harapan rakyat terhadap kepemimpinan kerajaan negeri amat tinggi, terutamanya selepas Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar dalam PRN lalu.

“Antara yang telah dilaksanakan termasuklah berjaya mengurangkan kesesakan orang ramai di kaunter Jabatan Imigresen, melaksanakan inisiatif ‘Johor Fast Lane’ dan pelbagai program bantuan seperti pelaksanaan inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor.

“Sementara itu, dalam aspek ekonomi, kerajaan negeri telah membawa kemasukan pelaburan bernilai RM1.38 bilion, GDS Holding Ltd., membawa pelaburan bernilai RM876 juta dari Insulet Corporation dan pelaburan Paris Baguette Singapore bernilai RM130 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Selamat Takim (BN-Sungai Balang) tentang pencapaian yang diraih kerajaan negeri dalam tempoh 100 hari pentadbiran pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, kesemua pencapaian itu berjaya dilakar kerajaan biarpun tempoh genap 100 hari pertama barisan Exco adalah pada 3 Julai 2022.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan, beliau turut memberitahu pihaknya telah menggariskan enam teras utama dalam memacu pembangunan Johor ke arah pemodenan holistik menjelang tahun 2030.

“Enam teras berkenaan adalah Tadbir Urus Kerajaan, Pembangunan Ekonomi, Jaringan Keselamatan Sosial, Kemudahan dan Keperluan Asas, Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar serta Orang Muda Johor.

“Satu mekanisme juga akan diwujudkan bagi memastikan kesemua enam teras tersebut dilaksanakan dengan sebaiknya bersesuaian dengan hala tuju pembangunan Johor yang fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa. 

“Di bawah kepemimpinan saya, ahli-ahli Exco juga sedang dan akan terus merangka polisi terbaik untuk rakyat Johor selain turut mempengerusi dan mewujudkan makmal-makmal bagi setiap perkara dengan fokus berkepentingan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN