Banteras segera amalan khurafat di Kedah

Banteras segera amalan khurafat di Kedah

PHAHROLRAZI MOHD. ZAWAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah menggesa agar amalan khurafat yang dipercayai berlaku di negeri ini dibanteras dengan segera demi akidah umat Islam.

Pengerusinya, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, laporan mengenai amalan pemujaan tempat yang dianggap keramat di Gunung Jerai dan kenyataan seorang guru agama bahawa roh seseorang yang mati boleh memasuki tubuh orang lain menunjukkan amalan serta fahaman khurafat masih dipegang oleh sesetengah orang Melayu di Kedah. 

“Jika tidak diambil tindakan segera dan tegas oleh pihak berkuasa maka amalan dan fahaman ini akan berkembang menjadi barah yang sukar dibendung kerana ianya melibat mereka yang bergelar tuan guru atau ustaz yang ada pengaruh dan pengikut-pengikut yang taksub.

“Amanah Kedah memandang berat isu ini dan mengajak semua pihak sama ada para agamawan, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik bersama-sama membanteras isu khurafat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, menjadi harapan semua supaya umat Islam tidak ditambah lagi bebanan isu khurafat yang menjejaskan aqidah akhirnya memporak peranda kehidupan mereka di dunia dan akhirat. 

“Umat Islam ketika ini sudah sarat menghadapi pelbagai isu-isu politik, ekonomi, mazhab, peperangan sesama sendiri dan lain-lain yang merencat keutuhan umat,” katanya.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah menyiasat kejadian ritual dipercayai mempunyai unsur khurafat dan pemujaan ke atas tokoh tertentu di Gunung Jerai.

Tular di media sosial juga mengenai isi kandungan ceramah seorang guru agama dari Kedah yang menyebut mengenai perpindahan roh kepada jasad manusia yang masih hidup.

Menerusi video berdurasi lebih 10 minit itu, guru agama berkenaan menyatakan gurunya pernah menyebut contoh kononnya Allah SWT mencipta roh yang boleh berpindah-randah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN