Bangun pelan bantu rakyat tampung kos sara hidup - Utusan Malaysia

Bangun pelan bantu rakyat tampung kos sara hidup

Kerajaan diminta membentuk pelan khas bagi membantu rakyat yang berdepan kos sara hidup terus melonjak. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia perlu bersedia mengharungi fasa kemelesetan ekonomi dunia dengan membangunkan pelan tindakan untuk membantu rakyat agar mereka mampu membiayai kos sara hidup yang akan terus melonjak.

Strategi memberi bantuan tunai tidak menyelesaikan masalah kadar inflasi kecuali melegakan rakyat seketika, manakala tindakan menarik balik subsidi minyak botol disifatkan tidak kena pada masa.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Profesor Madya di Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mohd. Ridzuan Darun berkata, secara saintifik, Bank Negara Malaysia (BNM) ketika ini perlu menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk membendung kadar inflasi daripada terus melonjak.

Menurut beliau, Malaysia tidak dapat mengelak daripada menerima impak kemelesetan ekonomi dunia susulan situasi global yang semakin merunsingkan.

Oleh itu, kata beliau, Malaysia perlu bersedia menghadapi kesan tersebut yang setakat ini belum diketahui impak sama ada teruk atau biasa termasuk berapa lama akan berlarutan.

“Apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS), Federal Reserve (FED) akan memaksa ekonomi negara tersebut menuju ke arah kemelesetan kerana FED tidak dapat membendung kadar inflasi sekali gus menyebabkan rantaian bekalan terganggu dan harga minyak naik tinggi.

“Pilihan yang ada hanyalah menyekat kerancakan ekonomi supaya kuasa pembelian turun. Ini bermaksud, kadar pengangguran akan naik di negara itu dan lebih ramai lagi rakyat AS jatuh muflis,” kata beliau semalam.

Bantuan tunai

Rabu lalu, kerajaan mengumumkan bantuan tunai langsung kepada golongan miskin selepas menghapuskan subsidi untuk beberapa barangan keperluan termasuk ayam, telur dan minyak masak botol.

Bagaimanapun, kelmarin , Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menarik balik keputusan mengapung harga ayam di pasaran sebaliknya akan menetapkan harga siling baharu dalam masa terdekat.

Mohd. Ridzuan berkata, harga barangan akan turun kalau keadaan inflasi pulih, bekalan makanan cukup dan harga minyak turun.

Namun, kata beliau, ketika kemelesetan ekonomi dunia kerajaan perlu membangunkan pelan tindakan untuk membantu rakyat hidup agar mampu membiayai sara hidup mereka.

Menyokong pendapat sama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pemansuhan subsidi minyak masak botol dilihat tidak kena pada masanya.

Melonjak

Menurut beliau, langkah merasionalisasikan subsidi ketika harga barang sedang melonjak membebankan lagi pengguna walaupun kerajaan menukar sistem itu kepada bantuan tunai tambahan kepada golongan sasar.

Katanya, ini kerana pemberian tunai itu hanya membuka ruang kepada peniaga untuk menggunakan alasan menaikkan lagi harga barangan dan kesannya dirasai oleh semua rakyat tidak terhad kepada golongan B40.

“Sepatutnya subsidi sedia ada dikekalkan sehingga keadaan mula stabil barulah menjalankan proses untuk memansuhkan subsidi tertentu.

“Apabila subsidi dihapuskan, kesannya harga naik dan kuasa beli menurun. Jadi cara menanganinya kerajaan beri bantuan tambahan. Isunya, bila duit sampai kepada golongan sasaran, adakah penerima menggunakan duit itu untuk membeli keperluan asas?” katanya.

Mohd. Afzanizam berkata, langkah rasionalisasi subsidi sepatutnya dilakukan ketika tempoh pandemik Covid-19 kerana ketika itu harga barangan turun dan harga minyak mentah Brent pernah jatuh ke paras AS$19 setong pada tahun 2020 berbanding AS$120 setong ketika ini.

“Waktu yang sesuai untuk merasionalisasikan subsidi memainkan peranan kerana ia boleh memberi kesan kepada kenaikan harga barang.

“Namun, rakyat juga perlu bersedia dan melihat semula keutamaan perbelanjaan peribadi selain mencari cara untuk tambah pendapatan dan mengembangkan duit melalui pelaburan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×