Azis Jamman sedia berdepan lawan PRU-15 - Utusan Malaysia

Azis Jamman sedia berdepan lawan PRU-15

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan mana-mana pencabarnya bagi mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) itu berkata, jika dahulu selaku muka baharu, Warisan mampu merampas kerusi Parlimen Sepanggar daripada Barisan Nasional (BN), kini beliau yakin mampu mempertahankannya.

Mohd. Azis menegaskan sudah berkhidmat selama empat tahun jadi, beliau yakin rakyat di kawasan itu cukup mengenali dan mampu menilai hasil kerjanya.

“Pada saya tiada masalah jika berdepan dengan sesiapa untuk saya berkhidmat dan bertanding di situ sekali lagi. Saya akan menyahut cabaran itu jika pucuk pimpinan parti mahukan saya untuk bertanding sekali lagi di Parlimen tersebut.

“Namun pada akhirnya, kita serahkan kepada rakyat untuk menilai, kita kena hormat pilihan rakyat kerana itulah proses demokrasi di negara kita,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut beliau, selama empat tahun berkhidmat di kawasan itu, beliau sangat konsisten turun padang sama ada semasa menjadi kerajaan mahupun ketika berada di blok pembangkang.

Biarpun tempoh dalam kerajaan tidak banyak yang boleh dilakukan akibat pandemik Covid-19 namun, perkara asas seperti bantuan kepada rakyat terkesan, membaik pulih infrastruktur asas masih mampu dilakukan.

Mengenai kerusi Sepanggar menjadi rebutan, Mohd. Azis berkata, negara ini mengamalkan sistem demokrasi jadi mana-mana parti politik berdaftar mempunyai hak untuk bertanding.

Selaku ahli Parlimen di kawasan itu, beliau menyerahkan keputusan mengundi kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Sesiapa sahaja boleh menawarkan diri namun, yang memutuskan siapa menjadi wakil rakyat di kawasan itu adalah rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, beliau secara peribadi meletakkan keputusan pemilihan calon kepada Presiden Warisan dan pucuk pimpinan parti.

“Bertanding atau tidak, saya akan memastikan rakyat Sabah terus bersatu bagi menuntut hak-hak Sabah. Kita sudah jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Ini lebih penting berbanding kedudukan saya untuk bertanding. Tanding atau tidak, saya akan pastikan rakyat memilih Warisan sebagai wadah untuk meletakkan negara pada landasan yang betul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN