fbpx

Astana Tanjak jadi perhatian

TANJAK bersaiz besar yang menghiasi bumbung sebuah rumah berwarna kuning di Labu Kubong, Chenderong Balai dekat Pasir Salak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

PASIR SALAK: Sayang dan bangga dengan kekayaan budaya sendiri, seorang wanita mengabadikan kemegahan budaya Melayu apabila menjadikan replika sebuah tanjak sebagai penghias di bahagian bumbung rumahnya di Labu Kubong, Chenderong Balai dekat sini.

Dikenali sebagai Astana Tanjak, rumah berwarna kuning yang terdapat replika tanjak di bahagian atasnya menjadi perhatian pengguna jalan raya yang melalui Jalan Tapah ke Teluk Intan.

Idea pembinaan tanjak itu dicetuskan pemiliknya, Zaidatul Mardiah Yussuf, 44, iaitu anak jati kampung itu yang merupakan seorang ahli perniagaan menetap di Kuala Lumpur.

Beliau membina rumah itu sebagai rumah rehat.

“Tanjak yang saya bina di atas bumbung rumah ini melam­bangkan kecintaan terhadap budaya Melayu. Tanjak merupakan pakaian yang dipakai untuk majlis-majlis orang Melayu, maka wajarlah ia diletakkan di tempat paling tinggi.

“Kenapa letak tanjak di atas bumbung? Ini kerana kedudukan tanjak yang letaknya di atas kepala dan sebagai lambang bangsa Melayu.

“Tanjak dianggap sebagai mahkota orang Melayu, justeru meletakkan mahkota di tempat yang tinggi sekali gus melambangkan martabat dan ketinggian darjat. Tidak mungkin dile­takkan lebih rendah daripada telapak kaki,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zaidatul Mardiah berkata, beliau membina rumah yang dilengkapi tanjak sebagai inspirasi daripada seseorang yang amat disayanginya.

“Ini adalah tanda kasih sa­yang saya terhadap seseorang yang telah pergi selamanya.

“Sebelum meninggal dunia, arwah pesan agar bina rumah diletakkan tanjak di atasnya kerana sayang dan bangga de­ngan budaya Melayu,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN