PUTRAJAYA: Pelantikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah keputusan Jemaah Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan berpandangan tiada isu berbangkit berkaitan keputusan Jemaah Menteri pada 29 Oktober 2021 bagi pelantikan Mohamed Apandi memandangkan pertimbangan sewajarnya sudah dilaksanakan terhadap keputusan menubuhkan Pasukan Petugas Khas tersebut.
Katanya, sebarang bantahan berkaitan kedudukan Pengerusi Pasukan Petugas Khas sewajarnya dibangkitkan lebih awal untuk perhatian kerajaan.
“Pasukan Petugas Khas ini dilantik dengan tujuan spesifik untuk meninjau dan mengkaji opsyen-opsyen perundangan untuk Malaysia serta menyiasat berkaitan penarikan rayuan kes ini di International Court of Justice (ICJ) pada 2018.
“Maka, adalah mustahil untuk saya bertindak sewenang-wenangnya tanpa sebarang justifikasi untuk mengeluarkan Apandi sebagai Pengerusi apabila Jemaah Menteri membuat keputusan berkaitan pelantikan beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Junaidi berkata, beliau kecewa dengan tindakan Tun Mahathir yang tidak memberi kerjasama tetapi ingin menegaskan bahawa Pasukan Petugas Khas akan meneruskan komitmen dan tanggungjawab untuk menghasilkan laporan akhir.
Katanya, keputusan tersebut telah mengejutkan panel penemubual dan perkara-perkara yang sepatutnya dapat dikongsikan oleh beliau tidak dapat diperoleh oleh PPK.
“PPK hanya ingin mendengar dan mendapatkan pandangan mengenai situasi pada 2018 apabila kerajaan menarik balik rayuan kes ini di ICJ maka Tun Mahathir sedia maklum akan pelantikan Pengerusi PPK oleh Jemaah Menteri.
“Tun Mahathir sebenarnya boleh menolak untuk hadir ke sesi pagi semalam di Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Beliau berkata, Pasukan Petugas Khas ini telah pun menjalankan tugas mereka selama tujuh bulan sehingga Laporan Interim disediakan dan Laporan Akhir serta tindakan susulan sedang disediakan Pasukan Petugas Khas tersebut.
“Seperti mana yang dirancang selaras dengan tujuan penubuhannya iaitu untuk meneliti hala tuju berhubung kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta keputusan kerajaan pada tahun 2018 untuk menarik balik Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan,” katanya.
Media semalam melaporkan Dr. Mahathir menegaskan dirinya bersedia mendedahkan semua perkara sebenar sekiranya Apandi tidak mempengerusikan jawatankuasa pasukan petugas khas mengkaji isu Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.
“Saya akan berkongsi cerita sebenar dan bagi semua maklumat yang diperlukan kerana ramai yang bagi maklumat salah,” katanya.
Bagaimanapun, Dr. Mahathir hanya hadir selama 10 minit sesi temu bual saksi untuk jawatankuasa kecil Tort of Misfeasance di bawah PPK di Jabatan Peguam Negara semalam. – UTUSAN











