Ikhtiar BN

Apa cerita Ikhtiar BN Johor, diterjemahkah?

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

TIGA bulan sudah berlalu sejak rakyat Johor memuktamadkan pilihan mereka siapakah wakil rakyat untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melabuhkan tirai pada 12 Mac lalu.

Episod siapa jadi Menteri Besar dan siapa pula dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sudah tidak perlu dipersoalkan lagi selepas keputusan muktamad mengenainya dibuat.

Tetapi yang kini masih menjadi persoalan selepas PRN Johor adalah perkembangan Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor yang dikemukakan parti itu dalam pilihan raya tersebut.

Ada lima ikhtiar utama iaitu Kemajuan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat, Orang Muda Johor, Pentadbiran Berintegriti dan Reformasi Politik yang kesemua itu bermatlamat menjadikan Johor sebagai negeri yang makmur didukung oleh naratif politik baharu yang matang lagi stabil.

Meskipun tidak lagi menggunakan perkataan ‘manifesto’ sehingga langkah itu diikuti parti lawan, Ikhtiar BN Johor bukan setakat ikrar yang sekadar ada atau pelan yang berjela-jela.

Ikhtiar BN Johor adalah komitmen bagi menjamin kemakmuran masa depan negeri ini yang sudah tentu ketika itu berjaya menambat hati pengundi untuk memilih kerajaan yang lebih layak dan realistik.

Maka mahu tidak mahu, langkah-langkah atau perancangan yang disebut dalam ikhtiar itu harus sudah mula diterjemah dalam bentuk pelaksanaan ketika ini. Rakyat Johor sudah tahu apa yang mahu dilakukan kerajaan negeri jika mereka beri mandat.

Namun sehingga kini Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilihat belum memaklumkan secara jelas perkara berkaitan Ikhtiar BN Johor itu, sekadar menyatakan kerajaan negeri komited untuk menyampaikan kesemua ikhtiar itu.

Apakah perancangan atau jenis penyampaian itu tidak pula dinyatakan secara terperinci kepada rakyat sehingga kini. Rak­yat Johor berhak tahu kemajuan pelaksanaan ikhtiar tersebut.

Onn Hafiz tidak boleh mengambil mudah perkara itu kerana kegagalan menterjemahkan ikhtiar berkenaan dikhua­tiri secara tidak langsung akan mencalar imej BN sekali gus memberi kesan tidak baik kepada parti.

Tambahan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berkemungkinan besar diadakan tahun ini, walaupun DUN Johor telah selesai mengundi tetapi ada 26 kerusi Parlimen yang perlu diberi perhatian.

Janji perlu ditepati. ‘Barang’ (Ikhtiar BN) yang ditempah dan sampai ke tangan pengguna (rakyat) tidak seharusnya tertukar kecuali atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Justeru, sudah pasti rakyat tertunggu-tunggu adakah Ikhtiar BN itu akan terkandung dalam amanat MB hari ini (14 Jun). Diubahkah? Diberi penjenamaan semulakah? Atau akan dilaksanakan atau sebaliknya?

Perlu diingat ikhtiar itu boleh dikira sebagai ‘janji’ kesemua 56 calon BN yang bertanding, apatah lagi mereka yang menang dan sudah pun diangkat menjadi seorang wakil rakyat dan bergelar Yang Berhormat (YB).

Apa pun yang terjadi ia tetap perlu dilaksanakan walaupun mungkin mahu diubah nama-nama ikhtiarnya.

Hakikatnya, ikhtiar itu tidak boleh diabaikan waima siapa pun yang mengetuai pentadbiran kerajaan negeri ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN