Ambil pil kuda, minum ketum ketika memandu antara punca nahas

Ambil pil kuda, minum ketum ketika memandu antara punca nahas

SEBANYAK 152,855 kes kemalangan jalan raya melibatkan lori dan treler dicatatkan dalam tempoh lebih tiga tahun lalu. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mengambil dadah untuk tambah tenaga bagi mengelak daripada mengantuk demi mengejar ‘trip’ antara kesalahan dikesan pemandu kenderaan berat di jalan raya.

Mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 152,855 kes kemalangan jalan raya membabitkan lori dan treler dicatatkan dari 2019 hingga 14 Mei lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, daripada operasi-operasi yang dijalankan, terdapat pemandu yang mengambil dadah bagi menambah tenaga jika terpaksa memandu semalaman, terutama perjalanan jauh.

“Selalunya mereka ambil pil kuda serta minum air dicampur ketum untuk mengelak daripada mengantuk.

“Selain itu, kita mendapati kemalangan berlaku disebabkan treler berhenti di lorong kecemasan atau laluan kiri sehingga mengakibatkan kenderaan lain melanggar dari belakang,” katanya semalam.

Menurut Mat Kassim, ada juga kemalangan berlaku disebabkan brek rosak selain tidak diselenggara dengan baik.

Tambah beliau, dalam tempoh tersebut, sebanyak 94,301 kemalangan treler dilaporkan berlaku manakala 58,554 kes membabitkan lori.

“Kemalangan treler melibatkan 20,305 kes pada 2019; 31,735 kes (2020); 30,663 kes (2021) dan 11,598 kes untuk tempoh lima bulan hingga 14 Mei lalu.

“Untuk tempoh sama, sebanyak 25,997 kemalangan membabitkan lori pada 2019; 13,617 kes (2020); 13,249 kes (2021) dan 5,661 bagi sepanjang tahun ini,” ujar beliau.

Beliau mengingatkan pemilik-pemilik kenderaan berat terutama treler menggunakan tayar celup yang mempunyai piawaian dibenarkan.

“Penggunaan tayar celup dibenarkan namun pada pihak yang sah sahaja. Kita mendapati masih banyak muatan berat menggunakan tayar celup dari bengkel-bengkel haram.

“Hal ini menyebabkan berlakunya kejadian tidak diingini terutama kepada pengguna jalan raya lain, antaranya kemalangan akibat terlanggar objek seperti serpihan tayar,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN