JOHOR BAHRU: Pelaksanaan ibadah korban termasuk aktiviti sembelihan, memotong, menimbang dan mengagihkan daging dibenar dilaksanakan di masjid dan surau seluruh negeri ini sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kebenaran itu diberikan kepada masjid dan surau yang mempunyai ruang penyembelihan khusus dan lengkap dengan kebenaran Pejabat Kadi Daerah dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 64 buah masjid dan 68 surau di negeri ini yang mendapat permit dan kebenaran untuk melakukan ibadah korban.
“Aktiviti ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha turut dilaksanakan di 153 Rumah Penyembelihan yang berdaftar dengan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.
“Bagi masjid dan surau yang belum digazetkan, mereka masih boleh memohon dengan Pejabat Kadi Daerah dan pemeriksaan dilakukan bagi memastikan ia sesuai diadakan ibadah korban.
“Sekiranya masjid dan surau tiada ruang dan kelengkapan tersebut, maka hanya dibenarkan untuk aktiviti melapah, membungkus dan edaran sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Pada tahun lalu, aktiviti itu hanya dibenarkan dibuat di rumah sembelihan yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.
Mohd. Fared berkata, pihak lain yang ingin melakukan ibadah korban di kawasan sendiri, mereka boleh membuat permohonan dengan Pejabat Kadi Daerah dan Veterinar tertakluk kepada kesesuaian dan penilaian kedua-dua pihak terbabit. – UTUSAN