TAMBUNAN: Gara-gara perselisihan faham dengan isteri, seorang lelaki sanggup membakar rumah sendiri sehingga melecur sebahagian badan di Kampung Kiukad Lotong, semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, siasatan awal mendapati mangsa, yang juga lelaki berusia 62 tahun itu dipercayai bertindak membakar rumah sendiri selepas perselisihan faham dengan isterinya dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam.
Walau bagaimanapun, saksi ditempat kejadian memaklumkan mangsa melecur sebahagian badan akibat terkena api ketika mangsa ingin menyalakan api.
Akibat kejadian itu, badan mangsa mengalami kecederaan dan melecur 40 peratus.
Beliau berkata, akibat daripada itu, rumah dan sebuah kenderaan Isuzu Dmax milik mangsa musnah dalam kebakaran tersebut.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam tentang kejadian kebakaran itu pada pukul 10.36 malam sebelum memaklumkan insiden itu kepada pihak bomba.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan berjaya memadamkan sepenuhnya api tersebut.
Jelas Nor Rafidah, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Micky Dominic berkata, mangsa yang dipercayai kurang siuman telah diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.- UTUSAN










