Ahmad Zahid nafi tuding jari 'lepas tengkuk sendiri'

Ahmad Zahid nafi tuding jari ‘lepas tengkuk sendiri’

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menuding jari kepada bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly berhubung pembayaran kad kredit menggunakan cek Yayasan Akalbudi, demi ‘melepaskan tengkuk sendiri’.

Presiden UMNO turut menafikan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran bahawa beliau berbohong di mahkamah sewaktu memaklumkan tidak mengetahui pembayaran kad kredit telah dijelaskan oleh Mazlina.

Bekas Timbalan Perdana Menteri pada perbicaraan lalu memberitahu Mazlina cuai kerana menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk membayar hutang kad kredit dan kecuaian itu diakui sendiri oleh bekas pegawainya.

Ketika disoal balas, Raja Rozela mencadangkan beliau yang sebenarnya mengarahkan Mazlina membayar hutang kad kredit mengunakan dana yayasan.

Ujar Raja Rozela, perkara itu tidak dinyatakan ketika percakapannya dirakam oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Raja Rozela: “Saya katakan kamu tidak beritahu sepatah perkataan pun kepada SPRM ketika kenyataan kamu direkodkan sebab kamu sendiri yang membenarkan Mazlina guna cek yayasan untuk membayar kad kredit itu?”

Ahmad Zahid: “Tidak setuju.”

Pada sesi soal balas, Ahmad Zahid juga tidak bersetuju dengan cadangan Raja Rozela bahawa beliau mempunyai peluang keemasan untuk menjelaskan kepada SPRM dan menafikan penglibatannya berhubung pembayaran kad kredit peribadi.

Raja Rozela: “Tidak mengapa, saya katakan sama ada cek asal atau imej, ia tidak menghalang kamu untuk beri penjelasan kepada SPRM?”

Ahmad Zahid: “Saya mohon beri penjelasan, saya berada di bawah tekanan kerana kenyataan itu diambil sehingga 10 malam. Jadi apabila menandatangani kenyataan, saya tidak tahu cek itu sudah bercop, jadi saya tandatangan saja.”

Beliau menyatakan tidak mempunyai pilihan untuk memberi penjelasan kepada SPRM kerana berada di bawah tekanan ketika disoal siasat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

Ahmad Zahid sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya