Ahmad Zahid mohon tangguh bicara

Ahmad Zahid mohon tangguh bicara

AHMAD Zahid Hamidi ketika hadir untuk prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - FOTO/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memohon agar perbicaraan kes pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya ditangguhkan sehingga rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan penyataan saksi.

Peguam bela, Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, pihaknya sudah memfailkan notis usul permohonan pada 23 Jun lalu dan memohon agar ia didengar secepat mungkin.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob mengesahkan pihaknya telah menerima sesalinan permohonan tersebut melalui e-mel pada Sabtu lalu dan memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan.

Tambah Abdul Malik, pihak pendakwaan akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan tersebut.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan 7 Julai ini untuk mendengar permohonan penangguhan itu.

Pada 9 Mei lalu, Hakim Sequerah menolak permohonan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk mendapatkan rakaman kenyataan 15 saksi termasuk rakaman percakapan adiknya Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan anak perempuannya, Nurulhidayah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada ketika ini, Mahkamah Tinggi di sini masih lagi mendengar kenyataan bela diri Ahmad Zahid secara bersumpah sejak 13 April lalu.

Pada 24 Januari lalu, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Menurut afidavit yang difailkan, Ahmad Zahid mendakwa permohonan penangguhan itu dibuat secara bona fide (niat baik) dan bukannya bertujuan untuk melengah-lengahkan perbicaraan itu.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, haknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil akan terjejas tanpa salinan rakaman percakapan itu dan ingin memberikan keterangan lebih lanjut terhadap pertuduhan dihadapinya.

Sementara itu, ketika menyambung keterangannya, Ahmad Zahid memberitahu dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM65 juta yang dikatakan diterimanya dan diserahkan kepada sebuah firma guaman, Lewis & Co. untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap bukanlah hasil daripada aktiviti haram.

Sebaliknya, Ahmad Zahid sekali lagi menyatakan wang RM65 juta itu adalah hasil sumbangan dan derma daripada individu serta badan korporat kepada Yayasan Akalbudi yang diasaskannya bagi tujuan amal jariah.

Beliau juga menyatakan tidak pernah mengarahkan Tetuan Lewis & Co, peguam atau pekerjanya termasuk kerani firma guaman, B. Sothilechmy (saksi pendakwaan ke-85) untuk mendepositkan dana berkenaan ke dalam akaun simpanan tetap.

“Saya menyatakan bahawa saya tidak mempunyai pengetahuan peribadi bahawa simpanan tetap itu adalah daripada pengeluaran akaun pelanggan. 

“Ketika saya melantik Tetuan Lewis & Co untuk menguruskan dana Yayasan Akalbudi, Muralidharan pernah memberitahu saya bahawa beliau akan menguruskan dana itu dengan membuka akaun simpanan tetap supaya yayasan dapat memperoleh kadar faedah. 

“Muralidharan juga memberitahu saya bahawa beliau perlu untuk berbuat demikian berdasarkan undang-undang,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang mana beliau merupakan pengasas dan pemegang amanahnya.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya