Adakan PRU15 bila ekonomi baik

Adakan PRU15 bila ekonomi baik

prn johor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya se­suai apabila kerajaan berjaya me­nangani dasar monetari dan fiskal untuk mempengaruhi aktiviti serta pertumbuhan ekonomi negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof. Madya Dr. Azmi Hassan berkata, dengan kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti dapat menawarkan pelbagai insentif untuk rakyat setelah menguruskan aspek kewangannya dengan baik.

Bagaimanapun, katanya, ti­dak dapat dipastikan sama ada kerajaan dapat menyelesaikan isu-isu berkait monetari dan dasar fiskal dalam tempoh singkat ketika pilihan raya umum seterusnya berbaki lebih kurang satu tahun lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang sekarang terdapat keperluan mengadakan PRU15 kerana rakyat mahukan kerajaan yang kuat untuk menggubal sesuatu dasar. Tetapi, saya berpandangan, masalah timbul apabila tangan Perdana Menteri agak ‘terikat’ dalam menggubal dasar.

“Hal ini kerana terlalu ba­nyak isu politik dalaman sehingga tumpuan untuk menangani inflasi tidak dapat dilaksanakan se­penuhnya, contohnya kes ku­­rang bekalan ayam. Ini yang mem­­buatkan Perdana Menteri su­kar melakukan sesuatu secara drastik kerana perlu memikirkan ba­nyak parti dalam kerajaan.

“Sekiranya kerajaan pimpinan Ismail Sabri kuat, saya rasa tiada masalah pun untuk beliau menggubal dasar-dasar­nya. Tetapi, oleh kerana ramai bermain politik dalam keadaan kerajaan tidak stabil, inilah yang menjadi kekangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, dalam temubual bersama Nikkei Asia baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, beliau tidak mahu terburu-buru mengadakan pilihan raya berikutan negara berdepan kenaikan barang terutama makanan.

Beliau bertegas untuk me­nunggu waktu yang sesuai walaupun didesak untuk segera me­laksanakan pilihan raya ekoran situasi politik yang tidak stabil.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil pula menyifatkan alasan Ismail Sabri sebagai ‘berlapik’ dan harga barang dijangka tidak akan turun secara drastik barulah pilihan raya diadakan.

“Kalau adakan pilihan raya dalam enam bulan akan datang pun, keadaan akan tetap sama. Perdana Menteri datang bukan daripada parti dominan dan kerajaan stabil. Katakanlah beliau mempunyai sokongan yang kuat, mungkin beliau akan kata boleh buat pilihan raya dalam masa terdekat.

“Oleh itu, masa sesuai saya fikir apabila sudah hampir de­ngan masa (penggal tamat) kerana waktu itu tidak banyak kritikan lagi terhadap kerajaan kerana masanya sudah tiba,” katanya.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun turut bersetuju bahawa pelaksanaaan pilihan raya umum perlu mengikut kesesuaian keadaan ekonomi sesebuah negara.

“Ia bergantung pada bagaimana anda melihat situasi ekonomi negara. Jika anda rasa ekonomi bertambah baik pada masa hadapan, mungkin kita boleh buat pilihan raya nanti. Jika tidak seperti diramal, kita tiada pilihan selain buat sahaja pilihan raya.

“Ia hanya menjadi lebih teruk kerana masalah ekonomi bukan berlaku di Malaysia sahaja malah di seluruh dunia. Anda boleh buat pilihan raya tahun depan, tetapi ekonomi juga mungkin akan lebih teruk dan keputusan pilihan raya mungkin tidak berapa baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×