‘Ada tak suka UMNO jadi kuat’

‘Ada tak suka UMNO jadi kuat’

OTHMAN DESA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan segelintir pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengan pendirian pucuk pimpinan parti bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan segera dianggap sebagai cubaan untuk melemahkan parti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ia sudah diputuskan oleh seluruh pucuk kepemimpinan dan tidak perlu dipertikai lagi.

Malah, katanya, soal tarikh PRU-15 bukan sahaja dipersetujui di peringkat Perhimpunan Agung UMNO tetapi di peringkat Konvensyen Barisan Nasional (BN).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Utamakan keputusan parti, ketepikan kepentingan peribadi. Bukannya mewujudkan polemik dalam parti dan memberikan pandangan serong di luar parti.

“Tidak dinafikan memang ada pandangan berbeza tetapi keputusan parti perlu diikuti, ini sampai dalam parti ada yang kata ada dua pasukanlah, dua puaklah. Ini dimainkan oleh musuh politik UMNO,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kemungkinan wujudnya dua kluster dalam UMNO, dengan sebelah pihak mahu PRU-15 disegerakan dan sebelah pihak lagi tidak mahu diadakan lebih awal.

Ini selepas beberapa pemimpin UMNO seperti Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Tan Sri Annuar Musa tidak bersetuju PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Othman yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat keputusan yang sewajarnya dalam menentukan tarikh PRU-15 kelak.

“Soal tarikh kita serah kepada Perdana Menteri tetapi tidak perlu bangkitkan perkara-perkara negatif, sebaliknya tumpu kepada kekuatan parti serta usaha mewujudkan kerajaan yang mantap.

“Ada yang tak suka parti (UMNO) kuat, sedangkan ramai yang nakkan PRU kerana mereka nak BN kembali. Jadi, hentikan andaian-andaian negatif, patuhi keputusan mesyuarat tertinggi dan konvensyen parti,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru pemimpin UMNO yang berkhidmat sebagai menteri dalam kerajaan supaya mematuhi keputusan yang dibuat oleh pucuk kepemimpinan parti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×