KANGAR: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan menggesa Perdana Menteri mengambil serius hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertemu beliau berhubung soal kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet.
Katanya, Muhyiddin telah menunggu lebih dua minggu untuk bertemu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyerahkan nama pemimpin dari Bersatu mengikut kuota parti yang akan menggantikan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Nasihat Wan Saiful, Perdana Menteri kena beri perhatian yang seriuslah dalam soal itu.
“Kalau ada masa tonton bola, takkan nak jumpa orang yang mencalonkannya (jadi Perdana Menteri) tak sempat. Selepas tonton bola, makan malam, apa salahnya penuhi undangan untuk berjumpa (Muhyiddin),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke ladang penyembelihan ayam My Farm Village di Kuala Perlis di sini hari ini.
Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilaporkan berkata, beliau sudah menunggu ‘terlalu lama’ untuk bertemu Perdana Menteri membincangkan kedudukan Zuraida.
“Saya tunggu tarikh untuk bertemu Perdana Menteri. Saya fikir sudah lebih dua minggu dan terlalu panjang untuk saya tunggu. Sewajarnya perkara itu diputuskan segera oleh Perdana Menteri,” kata Muhyiddin.
Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata, beliau akan bertemu dengan Zuraida sebelum mesyuarat Kabinet minggu ini berikutan jawatan menteri disandang Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu dituntut oleh Bersatu atas alasan ia merupakan kuota Bersatu setelah keluar dari parti itu.
Ahli Parlimen Ampang itu sebelum ini mengumumkan keluar daripada Bersatu pada 26 Mei lalu sebelum menyertai PBM.
Dalam pada itu, Wan Saiful mengingatkan Ismail Sabri bahawa kerajaan hari ini dibentuk hasil sokongan beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya, sokongan PN dan GPS kepada kerajaan adalah lebih besar daripada sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
“Kena ingat gabungan PN ada 50 orang ahli Parlimen. Dicampur dengan sokongan kita dapat daripada GPS, ada hampir 70 orang.
“Ini gabungan besar, malah lebih besar daripada BN. Kita yang angkat beliau (Ismail Sabri) jadi calon Perdana Menteri dan diterima dengan sokongan daripada kita,” katanya. –UTUSAN











