LANGKAWI: Kira-kira 89,000 pelancong datang ke pulau peranginan ini sepanjang tempoh cuti persekolahan minggu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, jumlah tersebut didorong oleh peningkatan perjalanan feri dan kapal terbang yang masuk ke pulau ini.
“Sepanjang tempoh cuti sekolah ini perjalanan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah secara purata adalah sebanyak tujuh perjalanan sehari berbanding empat perjalanan sehari bagi setiap laluan tersebut.
“Penerbangan juga amat menggalakkan di mana dalam tempoh cuti sekolah ini kita menerima lebih daripada 30 sehingga 35 penerbangan masuk dalam sehari,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Penanaman Bakau (GeoMangrove) di Kilim Karst Geoforest Park, di sini, semalam.
Sementara itu, Nasaruddin memberitahu, pihaknya turut berhasrat membangunkan satu laluan pejalan kaki di Air Terjun Telaga Tujuh di bawah Program Denai Sungai Kebangsaan bagi menarik lebih ramai pelancong.
Jelasnya, laluan pejalan kaki sepanjang tiga kilometer (km) itu mempunyai susunan semula jadi batu-batu kerikil yang bakal dijadikan laluan refleksologi.
“Beberapa fasiliti tambahan perlu dibina di kawasan berkenaan termasuk laluan pejalan kaki yang menarik dan kita akan bekerjasama dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk pembangunan produk baru ini,” ujarnya. – UTUSAN










