LANGKAWI: Kira-kira 89,000 pelancong berkunjung ke pulau peranginan ini sepanjang tempoh cuti persekolahan minggu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, jumlah tersebut didorong peningkatan jumlah perjalanan feri dan kapal terbang yang masuk ke pulau ini.
“Sepanjang tempoh cuti sekolah ini, perjalanan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah secara purata adalah sebanyak tujuh perjalanan sehari berbanding empat perjalanan sehari bagi setiap laluan tersebut.
“Penerbangan juga sangat menggalakkan yang mana dalam tempoh cuti sekolah ini kita menerima lebih daripada 30 sehingga 35 penerbangan masuk dalam sehari,” katanya selepas menghadiri Program Penanaman Bakau (GeoMangrove) di Kilim Karst Geoforest Park, di sini, semalam.
Sementara itu, Nasaruddin memberitahu, pihaknya berhasrat membangunkan laluan pejalan kaki di Air Terjun Telaga Tujuh di bawah Program Denai Sungai Kebangsaan bagi menarik lebih ramai pelancong.
Jelasnya, laluan pejalan kaki sepanjang tiga kilometer itu mempunyai susunan semula jadi batu-batu kerikil yang dijadikan laluan refleksologi.
“Beberapa fasiliti tambahan perlu dibina di kawasan ini termasuk laluan pejalan kaki yang menarik dan kita akan bekerjasama dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk pembangunannya,” ujarnya. – UTUSAN










