GURUN: Seramai 55 mangsa dari beberapa buah kampung dan taman perumahan di sini terjejas dalam kejadian banjir kilat selepas hujan lebat hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 hingga 7 pagi itu, mangsa tersebut melibatkan seramai 24 lelaki, 22 wanita dan sembilan kanak-kanak yang tinggal di 30 buah rumah.
Seramai 16 orang daripada mangsa terlibat diselamatkan oleh pihak bomba dan dipindahkan ke lokasi yang selamat. Antara kampung terlibat adalah Kampung Ibor, Kampung Pulau Chenghai dan Taman Gurun Jaya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.35 pagi.
Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan satu jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Polis dan Penyelamat (BPP) Guar Chempedak ke lokasi kejadian.
Katanya, kawasan yang terlibat dengan banjir kilat itu dinaiki air sedalam 0.3 hingga 1.2 meter.
“Paras air di kawasan Taman Gurun Jaya dan Kampung Cenghai ialah setinggi 0.3 meter manakala Kampung Sungai Ibor setinggi 1.2 meter. Seramai 55 mangsa banjir kilat itu pula terdiri daripada 10 mangsa dari Taman Gurun Jaya, 42 mangsa (Kampung Sungai Ibor) dan tiga mangsa (Kampung Cenghai).
“Kebanyakan mangsa terlibat dipindahkan ke rumah ahli keluarga mereka di kampung berdekatan dan tiada pusat pemindahan yang dibuka setakat ini. Operasi masih terkawal dan usaha menyelamat dan pemantauan kawasan yang terjejas masih dilakukan,” katanya. – UTUSAN










