KUALA LUMPUR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengesan sebanyak 432 tapak pembuangan sampah haram di tujuh negeri yang tidak sepatutnya berlaku ketika Malaysia sedang menuju negara bersih dan sihat.
Negeri yang menghadapi masalah itu adalah Perlis, Kedah, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor dengan 163 daripadanya masih aktif iaitu terus menjadi tempat pembuangan sampah walaupun sudah ditutup oleh pihak berkuasa.
Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, pihaknya bimbang dengan kewujudan masyarakat yang tidak berdisiplin dari segi pengurusan kebersihan.
“Kita tak fikir mana tempat betul nak buang sampah. Kalau sikap seperti ini tidak dikawal tidak dibendung, kita boleh jadi negara sampah.
“Dari segi pengurusan agak teratur, cuma perlu penambahbaikan untuk masyarakat sedar dan berdisiplin dengan pembuangan sampah,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Sisa pepejal
Menurut beliau, jumlah sisa pepejal yang dijana di negara ini pada tahun lalu adalah sebanyak 38,318 tan sehari dengan anggaran 1.17 kilogram penjanaan sisa pepejal oleh setiap individu di negara ini.
“Jumlah sisa pepejal yang dijana pada tahun lalu itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.065 peratus kenaikan berbanding 38,294 tan sehari pada 2020,” katanya.
Rizalman berkata, proses pengurusan pembuangan sampah bukan sahaja perlu melibatkan SWCorp dan pihak berkuasa, tetapi juga kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi terus mengekang kewujudan tapak pembuangan sampah haram.
Katanya, ini kerana pendekatan yang diambil SWCorp bermula daripada sumber hingga ke tapak pelupusan sudah berjalan lancar, cuma ada masyarakat yang masih mengambil jalan mudah dengan membuang sampah sesuka hati.
“Kita akan terus melaksanakan kempen agar semua pihak memainkan peranan dan akhirnya semua sedar bahawa tanggungjawab untuk menguruskan sampah atau sisa pepejal ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi tanggungjawab semua,” katanya.
Penguatkuasaan
Tambah Rizalman, pihaknya juga akan menggandakan usaha terutamanya di peringkat penguatkuasaan agar tapak haram itu tidak menjadi kes yang berulang.
“Kita menggandakan pemantauan secara berterusan, penangkapan dan pendakwaan supaya lokasi pembuangan sampah haram itu terus dibasmi.
“Kita ada kes yang didakwa di mahkamah dan mereka juga telah didenda. Mulai tahun 2014 sehingga Mei tahun ini, sebanyak 145 kes telah didakwa di mahkamah dan denda sebanyak RM1.8 juta di tujuh negeri yang menerima pakai akta 672 (Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007).
“Jadi soal penguatkuasaan memang kita tak kompromi atau beri kelonggaran sebab kita bimbang ia jadi satu trend kepada masyarakat atau mana-mana pihak yang mengambil jalan singkat dengan membuat tapak pembuangan sampah haram,” katanya.
Jelas Rizalman, SWCorp dan pihak kerajaan juga sedang giat menyediakan kemudahan pengurusan sisa pepejal secukupnya termasuk penggunaan teknologi baharu untuk menambah baik sistem pengurusan sisa pepejal.
“Selain kaedah dan teknologi pelupusan sampah seperti Tapak Pelupusan Sanitari dan Anaerobic Digestor serta empat insinerator yang ada, mungkin lepas ini kita akan teroka pelbagai termaksuklah fasiliti pengurusan sisa pepejal bersepadu (IWM) yang merupakan salah satu kaedah untuk mengurangkan sampah yang perlu diurus di tempat pelupusan sampah.
“IWM berfungsi untuk asingkan sisa pepejal yang boleh ditukar menjadi sumber tenaga sekali gus dapat meminimum sampah yang tak boleh diguna dan dibuang ke tempat pelupusan sampah.
“IWM itu boleh meminimumkan penggunaan tapak pelupusan sampah pada masa depan seperti di Eropah yang sudah 20 tahun tidak mempunyai tapak pelupusan sampah,” katanya.- UTUSAN










