KOTA TINGGI: Empat mayat lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di beberapa lokasi di perairan Johor Timur dalam tempoh 48 jam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, maklumat pertama diterima daripada pemancing yang menemukan satu mayat terapung di kedudukan 8.6 batu nautika timur laut Tanjung Balau pada pukul 10.30 pagi semalam.
Bertindak atas maklumat tersebut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor Zon Maritim Tanjung Sedili menghantar aset ke lokasi yang dilaporkan.
“Seterusnya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kedua penemuan mayat oleh nelayan tempatan di kedudukan 16 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar pada pukul 12.40 tengah hari.
“Kedua-dua mayat itu dinaikkan ke dalam aset Maritim Malaysia dan seterusnya dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili.
“MRSC Johor Bahru juga menerima maklumat penemuan dua mayat terapung oleh nelayan tempatan pada 14 Jun di perairan Pulau Lima, masing-masing ditemukan pada pukul 12.50 tengah hari dan 1.10 petang. Dua mayat berkenaan dinaikkan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musoh pada pukul 4.30 petang kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Empat mayat tersebut yang disyaki warga asing telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seterusnya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
Beliau tidak menolak kemungkinan kesemua mangsa terlibat dalam insiden di laut, namun hingga kini MRSC Johor Bahru atau mana-mana balai polis belum menerima sebarang aduan orang hilang di laut.
Jelasnya, hasil maklumat lanjut daripada pihak Agensi Nasional Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas) juga tiada laporan berkenaan orang hilang diterima setakat ini.
“Kesemua mayat belum dikenal pasti kewarganegaraan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menyalurkan terus kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor menerusi talian 07–2199401 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – UTUSAN