1MDB: Muhammad Shafee, Ahmad Husni bertikam lidah - Utusan Malaysia

1MDB: Muhammad Shafee, Ahmad Husni bertikam lidah

AHMAD Husni Mohamad HanadzlahTun Razak hadir memberi keterangan bagi perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/MOHD FIRDAUS MOHD JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sesi soal balas di antara peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dengan saksi pendakwaan ke-20 yang juga bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah menjadi terlalu `panas’ menyebabkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah terpaksa menghentikan sementara prosiding.

Muhammad Shafee: Yang Arif, saya beritahu sebelum ini saya akan ambil masa satu setengah hari untuk soal balas tetapi dengan (perilaku) saksi sebegini, tiga hari baru boleh selesai.

Ahmad Husni: Nak setahun pun boleh.

Hakim Sequerah: Saya rasa kita boleh berhenti seketika sekarang. Kita berehat sebentar.

‘Perang’ tersebut berlaku pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Terdahulu, sesi soal balas dilihat menjadi hangat apabila Muhammad Shafee bertanyakan mengenai surat-surat berkaitan syarikat 1MDB yang ditandatangani oleh Ahmad Husni.

Ahmad Husni ketika ditanya memberitahu, kebiasaannya sebarang surat yang diajukan kepada Kementerian Kewangan akan melalui beberapa peringkat sebelum sampai kepadanya untuk kelulusan atau sebarang tindakan lanjut.

Namun, bagi surat-surat berkaitan 1MDB atau anak syarikatnya, SRC International Sdn. Bhd., Ahmad Husni memberitahu surat tersebut dihantar terus kepada Menteri Kewangan (Najib) sebelum dihantar kepada pegawai (tidak dinyatakan identiti) sebelum sampai kepadanya.

Muhammad Shafee: Jadi macam mana surat (1MDB) ini sampai kepada awak?

Ahmad Husni: Saya dah beritahu tadi, awak kena dengar apa saya cakap. Bagi perkara berkaitan 1MDB dan SRC, beliau (Najib) akan hantar terus kepada pegawai. Surat ini bukannya daripada 1MDB kepada saya tetapi daripada Menteri Kewangan kepada pegawai sebelum sampai ke saya. Semua surat 1MDB dan SRC akan diuruskan oleh Menteri Kewangan.

Muhammad Shafee: Habis tu kenapa awak tandatangan surat ini?

Ahmad Husni: Sebab surat ini memerlukan tandatangan saya.

Muhammad Shafee: Awak kata surat 1MDB dan SRC diuruskan oleh Menteri Kewangan, jadi kenapa awak tandatangan?

Ahmad Husni: Bila surat ini sampai kepada saya, saya kena tandatangan. He (Najib) has the power dan saya yang menurut perintah. That’s how it works (itu bagaimananya semuanya berlaku). Kedua-dua projek ini (1MDB dan SRC) tidak mengikut prosedur standard Kementerian Kewangan, semua arahan datang dari atas, kalau surat suruh sign, saya perlu sign. Awak tak faham, awak tak kerja dengannya.

Muhammad Shafee: Awak jangan nak bergaduh, jawab sahaja soalan saya.

Ahmad Husni: Saya tak bergaduh, saya dah jawab soalan awak.

Muhammad Shafee: Awak jangan berlagak angkuh.

Ahmad Husni: Saya bukan berlagak angkuh, saya dah beritahu.

Hakim Sequerah: Datuk Seri (Ahmad Husni), peguam ada kerja yang perlu beliau buat, jadi beliau akan tanya soalan bagi memenuhi kerjanya.

Ahmad Husni: Kalau nak buat kerja pun Yang Arif, kenalah jujur.

Muhammad Shafee: Datuk Seri, dalam surat yang awak terima, ada tak sebarang arahan bertulis yang suruh awak tandatangan?

Ahmad Husni: Tiada.

Muhammad Shafee: Jadi walaupun tak ada arahan bertulis, awak masih lagi sign?

Ahmad Husni: Sebab saya tahu saya perlu tandatangan. Gerak hati saya menyatakan saya perlu sign, saya yang menurut perintah.

Muhammad Shafee: Sebelum ni awak kata tak tahu apa dalam fikiran Najib bila lantik awak sebagai Menteri Kewangan II tapi sekarang awak kata awak tahu apa yang Najib fikirkan.

Ahmad Husni: Awak tak boleh nak ‘pukul rata’ jawapan saya sebelum ini dengan soalan awak sekarang. Sebelum ini awak tanya saya adakah Najib lantik saya atas alasan A, B atau C. Ini mana saya boleh tahu apa alasannya tetapi berkaitan 1MDB saya tahu saya perlu tandatangan. He has the power.

Muhammad Shafee: Yang Arif, kalau macam ni, saya akan ambil masa tiga hari untuk soal balas saksi ini.

Ahmad Husni: One year also can. (Setahun pun boleh).

Prosiding bersambung semula selepas mahkamah berhenti berehat kira-kira 15 minit. Pada masa ini, sesi soal balas yang berjalan di hadapan Hakim Sequerah berjalan dengan aman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya