17 saman dikeluarkan dalam Operasi Halangan di Jalan Temiang-Pantai - Utusan Malaysia

17 saman dikeluarkan dalam Operasi Halangan di Jalan Temiang-Pantai

ANGGOTA polis dari BSPT IPD Seremban ketika menjalankan Operasi Halangan di Jalan Temiang-Pantai di Seremban petang semalam. - GAMBAR/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 17 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dalam Operasi Halangan yang dijalankan pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di Jalan Temiang-Pantai di sini petang semalam.

IPD Seremban menerusi kenyataan di akaun Facebook memaklumkan, operasi yang dijalankan itu bagi mengelakkan tindakan segelintir pengguna jalan raya yang berhenti di lorong kecemasan di sepanjang laluan tersebut yang boleh mengundang bahaya semua pihak.

“Tindakan memberhentikan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 50 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu Larangan Terhadap Halangan dan Kaedah 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu Lorong Kecemasan yang jelas tidak membenarkan mana-mana individu atau kenderaan berada di atas jalan yang boleh menghalang lalu lintas.

“Pesalah juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam. Mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan dan, dalam hal sabitan kali kedua atau kali kemudian, didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.

Menurut kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Jalan Temiang-Pantai sering menjadi tumpuan pengguna jalan raya untuk bergambar ekoran pemandangan sekitarnya yang cantik yang disifatkan ramai seperti di negara New Zealand.

Bagaimanapun tindakan segelintir pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan mereka di bahu jalan dan lorong kecemasan mengundang bahaya dan rasa tidak selesa pengguna jalan raya lain sehingga perkara itu beberapa kali tular di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN