1,781 notis kompaun bernilai RN430,200 dikeluarkan kepada perokok - Utusan Malaysia

1,781 notis kompaun bernilai RN430,200 dikeluarkan kepada perokok

ANGGOTA penguat kuasa JKNT mengeluarkan notis kompaun kepada pelanggan di sebuah restoran pada Op Gomo Asap Malam di Kuala Terengganu, malam semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,781 notis kompaun bernilai RM440,200 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bagi kesalahan merokok di kedai makan sejak 1 Januari sehingga 18 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara hampir sekali ganda berbanding 943 kes bernilai RM 243,550 dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut Kasemani, faktor peralihan kepada endemik serta perubahan waktu operasi premis menjadi antara punca utama kenaikan kes kesalahan melibatkan perokok di kedai makan.

“Tahun ini kami terima banyak aduan serta rungutan mendakwa perokok kembali merokok di premis makanan disebabkan perubahan waktu operasi dan hasil risikan kami mendapati ia benar.

“Aktiviti penguatkuasaan dilakukan setiap hari dan pesalah akan dikenakan notis kesalahan mengikut Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 (Pindaan 2018),” katanya pada sidang akhbar selepas Op Gomo Asap Malam di sini malam semalam.

Operasi bersepadu bermula pukul 5 petang hingga 12 tengah malam itu dijalankan serentak di daerah ini, Kuala Nerus dan Marang.

Kasemani memberitahu, sebanyak 64 notis kompaun dikeluarkan JKNT pada operasi tersebut.

“Setiap pesalah akan menerima kompaun maksimum RM250 bagi setiap kesalahan dan diberi masa 14 hari untuk membayar notis terbabit atau berdepan tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya