1,000 anggota PBT seluruh negara sertai Kayuhan MALA - WCE 2022 - Utusan Malaysia

1,000 anggota PBT seluruh negara sertai Kayuhan MALA – WCE 2022

PEGAWAI dan kakitangan PBT yang menyertai Kayuhan Basikal MALA - WCE 2022 bermula di hadapan pintu masuk bangunan MPM di Seri Manjung hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kira-kira 1,000 pegawai dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dari seluruh negara menyertai program Kayuhan Basikal Persatuan PBT Malaysia (MALA) – Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) 2022 pagi ini.

Program yang julung kali diadakan itu bermula di pintu masuk bangunan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Seri Manjung menuju Jalan Persekutuan Lekir sebelum memasuki WCE melalui Plaza Tol Lekir sehingga ke Plaza Tol Beruas dan berpatah balik menuju garisan penamat kembali di hadapan bangunan MPM.

Kayuhan itu diketuai Presiden MALA yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Yew Tung Seang diiringi Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh, selaku tuan rumah, bermula pukul 7 pagi dan berakhir tengah hari ini.

Menurut Tung Seang, program kayuhan basikal sejauh 93 kilometer itu melibatkan pegawai dan kakitangan dari 59 PBT seluruh negara.

“Ini adalah pertama kali kita mengadakan program mengayuh basikal secara besar-besaran melibatkan semua PBT yang bernaung di bawah MALA,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum menyertai program itu pagi ini.

Beliau menjelaskan, program mengayuh basikal secara santai itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara pegawai dan kakitangan PBT seluruh negara.

Pada masa sama, jelasnya, ia turut dapat memperkenalkan lagi WCE kepada pengguna jalan raya sebagai laluan alternatif dari Lembah Klang dan selatan tanah air ke utara Semenanjung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN