Zahid saran Petronas selamatkan Sapura, setuju wajib audit forensik

Zahid saran Petronas selamatkan Sapura, setuju wajib audit forensik

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Perdana Menteri (tiga dari kiri), Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid (empat dari kanan), Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (tiga dari kanan) dan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin (dua dari kiri) melambai ke arah wakil media ketika tiba sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. - FOTO/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petronas digesa menyelamatkan syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy Bhd. (SEB) yang dibebani dengan pinjaman RM10.3 bilion dan berdepan dengan muflis.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan Petronas itu juga boleh dibuat tanpa menggunakan dana langsung kerajaan.

“Sebanyak lebih RM5 billion telah dilaburkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB). Syarikat itu menggaji lebih 10,000 tenaga kerja dan lebih 3,000 vendor terlibat. Tanpa menggunakan dana langsung kerajaan, Petronas sesuai untuk mengambil alih dan melakukan ‘turn-around’ sesegera mungkin.

“Namun, kita bersetuju supaya pengauditan forensik wajib turut dilakukan agar ianya lebih telus,” katanya merujuk kepada Sapura Energy mengalami peningkatan kerugian bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari lalu kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelum ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Kenyataan Ahmad Zahid itu adalah sebagai respons Debat Perdana Khamis lalu antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu itu.

Menurut Najib, SEB perlu diselamatkan dengan mencadangkan supaya syarikat minyak nasional, Petronas mengambil alih kepentingan syarikat itu daripada diisytiharkan muflis.

Beliau berkata, SEB mempunyai kontrak bernilai RM7 bilion dan sebaik saja ia melaksanakan kontrak ini, harga sahamnya akan meningkat dan Petronas boleh menjual sahamnya dan ia menguntungkan.

Beliau berkata, rakyat akan menderita dan beribu-ribu akan kehilangan pekerjaan jika Sapura, di mana pemegang saham terbesarnya oleh PNB jatuh.

Manakala, Anwar pula menggesa kerajaan melakukan audit forensik terhadap SEB dalam usaha menyelamatkan syarikat itu daripada pelbagai permasalahan yang berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya