Wartawan, pengamal media wira tidak didendang - Agong - Utusan Malaysia

Wartawan, pengamal media wira tidak didendang – Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan wartawan dan pengamal media di negara ini sempena Hari Wartawan Nasional 2022.

Seri Paduka bertitah, penghargaan itu dizahirkan berdasarkan komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh wartawan dan pengamal media dalam menjalankan tugas menyampaikan maklumat dan melaporkan berita yang tepat dan terkini sama ada menerusi televisyen, surat khabar, radio mahupun portal-portal dalam talian.

“Penghargaan diberikan kepada wartawan dan pengamal media atas pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran dan keselamatan diri tanpa mengira cuaca dan situasi dalam menjalankan tugas mendapatkan maklumat,” titah Seri Paduka seperti disiarkan menerusi kenyataan Istana Negara.

Bagaimanapun, dengan ledakan maklumat di internet dan media sosial, Seri Paduka menasihati wartawan dan pengamal media sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan serta memastikan integriti dan akauntabiliti dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan.

Titah Al-Sultan Abdullah, meskipun kerajaan menghormati prinsip kebebasan media, namun semua pihak, khususnya wartawan dan pengamal media, mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan.

Menyifatkan sebagai wira yang tidak didendang, Seri Paduka bertitah, peranan wartawan dan pengamal media juga amat penting dalam pembangunan negara dan memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

Seri Paduka mendoakan semoga wartawan dan pengamal media sentiasa dilimpahi kejayaan berterusan dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dalam menjalankan tugas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.