KUALA NERUS: Waris Allahyarham Mohamad Amir Nordin, pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Mac lalu, menerima faedah khairat kematian dan pampasan sebanyak RM31,000, semalam.
Sumbangan itu ialah menerusi khairat kematian dan skim Perlindungan Insurans Keluarga Berkelompok Pelajar UMT berjumlah RM11,000 di samping Baucar Perlindungan Tenang (PTV) sebanyak RM20,000.
Bapanya, Nordin Mohamad berkata, bantuan yang diterima itu sedikit sebanyak melegakan bebanan keluarga akibat kehilangan anak tersayang.
“Arwah kemalangan semasa melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan bagi menampung perbelanjaan harian keluarga. Arwah merupakan harapan kami tetapi apakan daya, Allah lebih menyayanginya,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Bayaran Sumbangan PTV di Bangunan Canselori UMT di sini.
Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, Allahyarham merupakan penerima pertama PTV di negeri ini dalam kalangan 3,456 pelajar yang berdaftar dengan program berkenaan.
Allahyarham Mohamad Amir yang merupakan pelajar tahun tiga, Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) maut setelah motosikalnya dirempuh sebuah treler di Kilometer 3.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan. – UTUSAN










