warga emas

Warga emas rentung, anak dan menantu terselamat

KEADAAN rumah yang musnah terbakar dan mengorbankan seorang warga emas di Kampung Parit Abas, Benut di Pontian, awal pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang warga emas ditemukan rentung manakala dua ahli keluarganya berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Parit Abas, Benut, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, mangsa, Muhd.@ Misman Shukiran yang berusia 75 tahun berada di dalam bilik di kediaman tersebut.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa tidak sempat menyelamatkan diri kerana berada di dalam bilik, manakala anak dan menantunya  berjaya keluar daripada rumah berkenaan.

Katanya, anak mangsa, Norazizah dilaporkan tidak mengalami kecederaan sementara suaminya, Nurafizan A. Kadir cedera di kaki.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor yang menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu segera menyalurkan maklumat kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian untuk tindakan lanjut.

Ketua BBP Pontian, Azhar Abd. Jalil berkata, setibanya di tempat kejadian, Pasukan Keluar Operasi (PKO) mendapati kebakaran di rumah jenis separuh kekal berukuran 50 x 70 kaki itu telah memusnahkan kira-kira 90 peratus keseluruhan kediaman itu.

“Mayat warga emas yang telah rentung ditemukan di dalam bilik rumah tersebut. Dua mangsa lagi yang berjaya menyelamatkan diri mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki dan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Benut,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Azhar, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut dan operasi terbabit ditamatkan pada pukul 4.50 pagi setelah keadaan didapati terkawal.

Anggaran kerugian dan kemusnahan akibat kebakaran itu masih belum dapat ditaksirkan. Punca kebakaran juga masih dalam siasatan pasukan forensik BBP Pontian.

Sementara itu, operasi diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Othman Baher selaku Komander Operasi dengan dibantu oleh 27 orang anggota.

Sebanyak tiga jentera FRT, masing-masing sebuah jentera FRV dan EMRS dikejarkan ke lokasi  kejadian oleh BBP Pontian dengan dibantu oleh anggota dari BBP Pontian Baru, BBP Rengit dan Fire Post Benut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN