JELI: Seorang warga emas hilang selepas keluar berkebun di sebuah dusun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun di sini, sejak Khamis lalu.
Yaakub Ismail, 76 tahun, disedari hilang oleh anak lelakinya, Mohd. Sufian, 49, selepas mendapati mangsa tiada di kebun seluas 4.8 hektar itu meskipun kenderaan pacuan empat roda jenis Daihatsu Feroza dipandunya ada di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Ahmad Ariffin berkata, anaknya yang tinggal di Kampung Berangan, Tumpat menyedari Yaakub hilang kira-kira pukul 3.30 petang selepas tidak melihat warga emas itu di kebun berkenaan tiga jam sebelumnya.
Katanya, Mohd. Sufian cuba mencari bapanya di sekitar dusun itu malah turut menghubungi telefon bimbit mangsa namun gagal.
“Anak lelaki mangsa mengesyaki sesuatu berlaku pada bapanya sebelum meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari warga emas itu.
“Mohd. Sufian melaporkan kejadian itu di Ibu pejabat Daerah Jeli di sini. Polis dengan bantuan pasukan bomba menjalankan operasi mencari mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Ahmad, berdasarkan laporan anaknya, warga emas itu memakai baju kemeja dan seluar panjang berwarna hitam semasa berkebun di kawasan dusun itu.
Katanya, siasatan mendapati, warga emas itu baru memulakan tanaman dengan menyemai benih buah-buah-buahan tempatan di kawasan dusunnya sejak beberapa bulan yang lalu.
Ujarnya, operasi mencari mangsa sudah memasuki hari keempat semalam dan belum mendapat sebarang petunjuk.
Sehubungan itu, dia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau bertemu dengan warga emas itu menghubungi balai polis berhampiran. – UTUSAN










