Warga Bangladesh maut kemalangan jalan raya di Lipis - Utusan Malaysia

Warga Bangladesh maut kemalangan jalan raya di Lipis

MAYAT lelaki Bangladesh, Hosen Ismail di hadapan kereta dalam kejadian kemalangan di Kilometer 25, Jalan Lipis-Benta di Lipis, Pahang. - IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang lelaki warga Bangladesh maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 25, Jalan Lipis-Benta dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8.45 malam, mangsa, Hosen Ismail, 28, seorang pekerja kebun yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan teruk bahagian kepala dan patah kaki akibat berlanggar dengan sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal polis mendapati, motosikal yang ditunggang Hosen jenis Yamaha Lagenda 110Z dalam perjalanan dari rumahnya di Benta ke bandar Raub, dekat sini.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa keluar dari sebuah simpang menghala ke Raub tanpa berhenti terlebih dahulu lalu bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan patah kaki,” katanya di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di sini hari ini.

Menurut Azli, pemandu kereta jenis Mitsubishi ASX berwarna putih yang berusia 36 tahun serta seorang rakannya berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian selepas ujian swab Covid-19 dilakukan hari ini.

“Motosikal ditunggang mangsa merupakan milik rakannya mengalami kerosakan teruk manakala kereta berkenaan juga rosak di bahagian bonet depan, bumper serta cermin depan pecah.

“Ketika kejadian, jalan berada dalam keadaan kering dan cuaca baik di persimpangan tiga, sistem jalan dua lorong dan dua hala serta terdapat garisan tengah berkembar sebagai pembahagi jalan,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN