Warga asing maut ditetak rakan 

Warga asing maut ditetak rakan 

RUMAH kongsi pekerja ladang yang merupakan lokasi seorang buruh ladang warga Indonesia ditetak dan ditemukan maut di Ganchong dekat Kampung Semangat di Pekan, Pahang. - IHSAN PDRM PEKAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seorang buruh ladang warga asing ditemukan maut dipercayai ditetak rakan senegaranya di kawasan rumah pekerja ladang Ganchong dekat Kampung Semangat, di sini hari ini.

Mangsa yang ditemukan maut kira-kira pukul 10.30 pagi itu berasal dari Indonesia dikenali sebagai Selamet dan berusia dalam lingkungan 45 tahun.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badan selain putus sebelah telinga dalam pertelingkahan kira-kira pukul 2.30 pagi.

Menurutnya, susulan kejadian itu, polis menahan suspek dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut dikenali sebagai Tony, 32, bersama senjata digunakan di tepi jalan di Kilometer 26 Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Kampung Ubai, Kuantan.

“Hasil siasatan awal berdasarkan keterangan saksi yang merupakan abang kandung si mati, mangsa keluar rumah untuk ke tandas berhampiran dan tiba-tiba suspek muncul dalam keadaan mengamuk sambil membawa sebilah parang.

“Suspek tinggal di sebuah rumah kongsi yang letaknya kira-kira 50 meter dari rumah kongsi dihuni mangsa.

“Suspek menetak mangsa dan terkena pada beberapa bahagian badan termasuk siku, bahu, leher, dahi, belakang kepala dan telinga sebelum bertindak melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zaidi berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

Katanya, siasatan awal mendapati, kira-kira pukul 2 pagi sebelum kejadian, suspek kelihatan mundar-mandir di belakang rumah kongsi dengan membawa sebilah parang.

“Saksi berkata, dia ada menegur suspek dan sempat bertanya arah tujuannya kerana disangka hendak pergi memancing namun suspek membisu dan beredar kembali ke rumah kongsinya. Dalam kejadian itu, suspek mungkin tidak puas hati dan kembali semula untuk mengambil peluang menyerang mangsa ketika lelaki itu berada di luar rumah,” katanya.

Sementara itu, katanya, mayat mangsa  dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya