KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk mewajibkan pelajar asing yang belajar di universiti awam dan swasta mengambil kursus bahasa Melayu.
Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, ia boleh dilakukan menerusi ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warganegara Asing (SKBMW) yang telah diwujudkan sejak 2015.
Katanya, walaupun ujian sijil itu telah lama dijalankan, ia masih tidak mendapat sokongan menggalakkan dalam kalangan universiti di negara ini.
“Kementerian Pendidikan Tinggi sudah mengarahkan pihak universiti supaya mewajibkan pelajar asing mengambil SKBMW pada 2019, tetapi tidak dilaksanakan. Sebab itu, sekarang ini yang ambil tak sampai 120 orang, sebab tak wajib.
“Kalau nak mengantarabangsakan bahasa Melayu, kena mulakan dengan pelajar asing, wajibkan SKBMW. Ini akan mewujudkan kemahiran berbahasa Melayu. Pihak kementerian, jabatan dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) harus mengorak langkah, dengan memberi penekanan dan menguatkuasakan kemahiran bahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai panel dalam sidang 13: Peranan Institusi Pengajian Tinggi dalam Peningkatan Bahasa Melayu sempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.
Selain itu, katanya, Kementerian Luar juga perlu mewajibkan pengambilan SKBMW dalam kalangan warga pekerja asing.
“Kalau nak perbaharui visa, pekerja asing perlu ada kelulusan SKBMW, jadi penutur bahasa Melayu akan bertambah ramai, bila dia balik ke negara asal, dia ada kemahiran berbahasa lain.
“Ini sekali gus menjadikan bahasa Melayu dikembalikan di peringkat antarabangsa, jadi kerajaan harus tegas. SKBMW jawapannya…kalau tak lulus, hantar balik,” katanya. – UTUSAN