KULAI: UMNO Johor yakin mampu menang 20 daripada 26 kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, keyakinan itu berdasarkan kejayaan yang diraih parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka lalu dengan kemenangan lebih dua pertiga serta momentum yang dimiliki parti ketika ini.
“Kalau kita lihat senario sekarang ini, ia tentu sekali menjurus kepada lebih banyak kerusi Parlimen untuk dimenangi.
“Jika kita boleh menang 40 daripada 56 kerusi pada PRN yang lalu, ia memberi tafsiran ada peluang lebih besar kali ini untuk menang banyak kerusi dengan syarat kita mampu mengukuhkan jentera dan aset dalam parti khususnya penerangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Penerangan UMNO Johor, di sini.
Mengulas mengenai keyakinan UMNO Johor pada PRU-15, beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, jentera penerangan bahagian di negeri ini ketika ini sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 yang dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa.
Katanya, antara perkara yang akan menjadi pertimbangan jentera adalah kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa berkempen kelak, memandangkan negara sudah melangkah ke fasa endemik.
“Melihat kepada pembukaan sektor ekonomi sejak 1 April lalu, ia memberi bayangan ada lebih kebebasan untuk berkempen.
“Apapun, kita tetap akan menggunakan pendekatan hibrid iaitu pertemuan fizikal serta penggunaan media sosial khususnya untuk menarik pengundi baharu,” katanya.
Tambahnya, Pemuda dan Puteri UMNO juga akan memainkan peranan mengukuhkan jentera penerangan dalam usaha menyampaikan maklumat mengenai dasar kerajaan dengan lebih tepat kepada pengundi. – UTUSAN










