Tunggu saya balik, Zuraida - PM

Tunggu saya balik, Zuraida – PM

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hanyaditentukan selepas beliau bertemu dan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, tarikh pertemuan untuk berbincang mengenai peletakan jawatannya selepas memaklumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) belum ditetapkan dan ia diketahui selepas beliau tiba ke tanah air dalam masa terdekat. 

“Setakat ini, beliau masih boleh menghadiri mesyuarat Kabinet, sebab Zuraida tidak meletak jawatan sebagai menteri Kabinet dan saya pun tidak memecatnya sebagai menteri. 

“Jadi, beliau masih lagi menteri sehingga mesyuarat Rabu ini (minggu depan), sehingga beliau berjumpa saya. Walaupun akan berjumpa saya, tidak tahulah sama ada saya membuat keputusan atau tidak sehingga saya memutuskan untuk Zuraida berhenti dan saya lantik (bakal) menteri yang lain. (Itupun) kalau saya lantik menteri yang lain. 

“Jadi, kita tidak tahu apa sebenarnya, jadi kita teruskan seperti biasa. Semua orang berhak memberi pandangan dan saya menghormatinya. Ini juga mungkin dijadikan sebagai landasan untuk saya membuat keputusan seterusnya. Tetapi, setakat ini tiada sebarang keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir ke persidangan Nikkei ke-27 di Tokyo, Jepun, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada mesyuarat Kabinet yang diadakan setiap Rabu masih boleh dihadiri Zuraida selepas memutuskan meletak jawatannya dari kementerian itu. 

Kelmarin, Zuraida mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai PBM. 

PBM dipimpin oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien didaftarkan sebagai badan politik rasmi pada 27 Oktober 2021 antara lain adalah parti dijenamakan semula daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP). 

Keputusan mengejut Zuriada menyaksikan beliau telah melompat parti dua kali sejak bersama PKR, kemudian menyertai Bersatu dan kini dengan PBM dalam keadaan kerajaan Persekutuan akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dijangka Julai ini. 

Laporan Zuraida keluar Bersatu dan menyertai PBM sejak beberapa bulan lalu terbukti benar ketika beliau pada dua minggu lalu menafikan hubungannya dengan PBM selain jiwanya masih setia bersama Bersatu. 

Zuraida yang merupakan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH)  dilaporkan kini berada di Turki memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin serta dijangka berucap pada majlis pembukaan.

Ekoran keputusan Zuraida, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengemukakan kepada Ismail Sabri dalam masa terdekat calon penggantinya untuk dilantik sebagai menteri baharu. 

ISMAIL SABRI YAAKOB

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau menghormati setiap pandangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak mengenai perkata itu. 

“Semua orang mempunyai pandangan berbeza-beza dalam soal ini, tetapi keputusan akhirnya adalah kepada Perdana Menteri. Jadi, oleh kerana terlalu awal untuk saya membuat keputusan kerana belum ada perjumpaan dan perbincangan, saya tidak mahu komenlah apa tindakan seterusnya, tunggu saya balik,” katanya.  – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN