didenda RM1,500

Tumbuk pelanggan: Pekerja restoran nasi kandar didenda RM1,500

MOHD. Isa Ramliee (kiri) didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol selepas mengaku bersalah menumbuk seorang pelanggan sebuah restoran nasi kandar di Bahau dalam kejadian pada 5 Mei lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang pekerja sebuah restoran nasi kandar di Bahau, di sini, hari didenda  RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Bahau selepas mengaku bersalah menumbuk seorang pelanggan di restoran berkenaan dalam kejadian awal pagi, 5 Mei lalu.

Lelaki berkenaan, Mohd. Isa Ramliee, 21, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Hidayat Wahab.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 5 Mei lalu kira-kira pukul 1 pagi, bertempat di restoran Liga Maju Bahau, tertuduh telah dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas seorang lelaki berusia 30 tahun.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mohd. Isa dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana perlu menanggung seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil.

Muhammad Hidayat kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,500 dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dipenjara selama sembilan bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan gara-gara tidak berpuas hati dengan harga makanan, seorang pelanggan ditumbuk oleh pekerja sebuah restoran nasi kandar di Bahau di sini.

Video kejadian berkenaan turut tular di media sosial dan hasil siasatan mendapati punca kejadian berlaku apabila juruwang restoran itu telah meninggikan suara kepada ibu mangsa yang mempersoalkan harga nasi goreng kosong dan telur yang dijual di restoran berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya