GUA MUSANG: Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat sini sesak teruk di kedua-dua arah selama kira-kira dua jam selepas sebuah treler bertembung dengan lori di Kilometer 13, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, pemandu lori jenis Isuzu, Mohd. Naim Muzaffa Azmi, 29, patah kaki kanan manakala pemandu treler jenis Scania, Ramis Sawaling @ Sabapathy, 48, cedera di kaki.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, ketika kejadian, pemandu treler yang membawa muatan bitumen dalam perjalanan dari arah Kuala Krai ke Gua Musang.
Katanya, setibanya di lokasi nahas, lori Isuzu yang datang dari arah bertentangan dikatakan masuk ke laluan treler lalu merempuh bahagian hadapan kenderaan berat berkenaan.
“Pertembungan itu menyebabkan kepala treler dan lori remuk manakala dua pemandunya mengalami kecederaan. Kejadian kemalangan itu juga mengakibatkan lalu lintas terhalang dan sesak sehingga dua jam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing didapati pemandu negatif dadah dan kes disiasat mengikut 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat. – UTUSAN










