tragedi 10 maut

Tragedi 10 maut: Aidilfitri paling suram – Abd. Razak

Keratan Utusan Malaysia pada 19 Disember 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tatkala umat Islam meraikan kemeriahan Aidilfitri, sambutan nyata suram bagi Abd. Razak Majit, 50, yang kehilangan isteri dan lapan anak­nya dalam kemalangan hujung tahun lalu.

Biarpun lebih empat bulan tragedi hitam itu berlalu, memori bersama semua insan kesayangannya masih kekal terutama detik indah berhari raya.

Menurut Abd. Razak yang terselamat dalam nahas itu, dia tidak membuat sebarang persiapan raya kerana masih terkejut dan trauma.

“Tidak mungkin saya dapat melupakan lapan anak dan arwah isteri (Allahyarham Norul Naziah Buyong, 37) yang pergi dalam sekelip mata.

“Kesedihan hati ini amat berat dan sambutan Aidilfitri amat berbeza serta suram tanpa mereka,” katanya sebak ketika ditemui Utusan Malaysia di kediaman mentuanya di Seksyen 17 di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam (Al-Qalam), Datuk Seri Dr. Baharudin Abu dan Pengurus Operasi Wilayah Lembah Klang Econsave Sdn. Bhd., Lim Yoke Foong yang menyalurkan sumbangan Aidilfitri kepada keluarga itu.

ABD. Razak Majit (empat dari kanan) menerima sumbangan Aidilfitri daripada Baharudin Abu (baju merah) dan Lim Yoke Foong (dua dari kiri) di Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED

Pada 17 Disember tahun lalu, perjalanan pulang 10 beranak itu bertukar tragedi apabila sembilan daripada mereka maut dalam kemalangan berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya ELITE dekat sini, selepas menghadiri majlis kenduri keluarga di Melaka.

Kemalangan pukul 12.09 tengah malam itu berlaku ketika kereta Proton Wira dipandu Abd. Razak berhenti di tepi lebuh raya kerana mengalami kerosakan sebelum dirempuh sebuah treler.

Selain Norul Naziah, nahas itu mengorbankan Allahyarham Razarul Amin, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; dan Muhamad Aizat Syazwan, 10.

Empat mangsa yang turut maut ialah Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.

Tragedi itu turut mengorbankan Mohamad Rahimi Rolex, 27, yang datang untuk membantu memeriksa kerosakan kereta keluarga berkenaan.

Jenazah sembilan beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.

Kata Abd. Razak yang juga pengawal keselamatan SIRIM, kenangan bersama arwah isteri dan lapan anaknya ketika beraya masih terpahat di ingatannya sehingga kini.

“Kebiasaannya, isteri akan menyediakan juadah rendang dan ketupat pada pagi raya bersama ahli keluarga lain.

“Memori indah itu tidak akan dilupakan biarpun mereka sudah meninggalkan saya buat selamanya,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN