PETALING JAYA: Aliran trafik masih sesak dan perlahan menghala Kuala Lumpur susulan warga kota mula kembali selepas bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri, setakat pukul 12.10 tengah hari tadi.
Menurut perkongsian Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di laman twitter, lebuhraya KL-Karak merekodkan kesesakan sejauh 21 kilometer arah Barat di laluan Bentong Timur ke Bukit Tinggi.
Selain itu, aliran trafik tinggi juga dicatatkan di lebuh raya arah Selatan membabitkan laluan Simpang Pulai ke hentian sebelah Simpang Pulai (6.7km), laluan Gua Tempurung ke Tapah (3.1km) dan hentian rehat dan rawat (R&R) Tapah menghala Bidor (3.1km).
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik. – UTUSAN










